Home Berita PAS Terengganu

Hasan Haris Tampil Dengan Tekad Bantu Rakyat Sejahtera

1
SHARE

TAWAU – Calon N.72 DUN Merotai mewakili Perikatan Nasional, Haji Hasan Haris menyatakan kesediaan dan kesungguhannya untuk membawa perubahan dan membantu menyelesaikan isu-isu rakyat jika diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini.

Dalam tinjauan mesranya di Pasar Besar Tawau pagi hari ini, beliau menjelaskan bahawa keputusannya bertanding adalah hasil kesedaran terhadap keperluan mendesak rakyat yang sering terpinggir.

“Saya bertanding kerana ingin membantu mensejahterakan rakyat di Merotai. Isu utama yang sering diketengahkan oleh penduduk ialah masalah jalan, air, elektrik, bantuan kebajikan serta isu dokumen yang menyebabkan rakyat tercicir dari menerima bantuan,” katanya

Menurut Hasan, sekiranya diberi peluang memimpin, beliau akan memberi tumpuan penuh kepada perkara-perkara tersebut dengan menjadikan manifesto PN sebagai panduan utama, termasuk penekanan terhadap pendidikan, TVET, kebajikan dan pembangunan kerohanian.

“Kita akan pastikan masjid, surau, madrasah terus dimakmurkan, dan gereja-gereja yang ada juga dijaga. Saya mahu rakyat kembali kepada agama masing-masing agar kesejahteraan, keharmonian dan pembangunan ekonomi dapat dicapai bersama,” ujarnya.

Beliau turut mengakui bahawa persaingan di Merotai sangat sengit, namun menyerahkan segala ketentuan kepada Allah.

“Saya telah berusaha sedaya upaya, dan semoga kemenangan berpihak kepada Perikatan Nasional demi rakyat Merotai,” tambah beliau.