Home Berita PAS Terengganu

‘Fly To KL: Terbangkan Impian 2.0’ Buat 75 Anak Yatim, OKU

1
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seramai 75 anak yatim piatu dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dari seluruh Terengganu berlepas ke Kuala Lumpur melalui program Fly To KL: Terbangkan Impian 2.0 yang berlangsung di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata program tersebut dirangka sebagai usaha menyantuni serta meraikan golongan memerlukan agar mereka tidak rasa tersisih.

Menurutnya, program itu juga bertujuan memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman pertama menaiki kapal terbang, sekali gus membuka ruang baharu dalam pembelajaran, keyakinan diri dan pendedahan sosial.

“Kami mahu perjalanan ini menjadi titik permulaan untuk mereka melihat dunia dengan lebih luas, menambah keyakinan diri serta memberi inspirasi agar mereka terus berimpian.

“Sedikit sebanyak, program ini juga menjadi ruang untuk anak-anak yatim piatu ini merasakan bahawa mereka tetap dihargai dan dikasihi meskipun telah kehilangan kedua-dua ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata, berbeza dengan penganjuran tahun lalu yang hanya melibatkan anak yatim piatu dari 32 Dewan Undangan Negeri (DUN), edisi kali ini turut melibatkan golongan OKU sebagai langkah memperkukuh nilai inklusiviti dalam setiap program kebajikan negeri.

Sementara itu, Pengarah Program, Muhamad Hamdi Dato’ Harun, berkata Fly To KL: Terbangkan Impian 2.0 dirancang dengan teliti melibatkan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan setiap peserta bukan sahaja menikmati pengalaman baharu, tetapi turut memperoleh manfaat pendidikan.

“Kami mahu perjalanan ini menjadi memori terindah buat mereka.

“Setiap lokasi yang dipilih mempunyai elemen pembelajaran, motivasi dan pendedahan. Harapan kami, biarlah pengalaman ini menjadi pencetus semangat baharu dalam diri mereka,” katanya.

Program ini turut disertai oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan negeri,  Zuraida Md Noor, serta ADUN Bukit Besi,  Ghazali Sulaiman, yang bersama-sama mengiringi peserta bagi memberikan sokongan moral dan dorongan.

Setibanya di ibu negara, para peserta dijadualkan mengikuti siri lawatan pendidikan dan pengalaman, antaranya: Experience Sky, Menara Berkembar PETRONAS (KLCC), Aquaria KLCC, Petrosains, Pusat Sains Negara,  serta  Asrama Darul Kifayah MAIWP.