Home Berita PAS Terengganu

460 Lokasi Hotspot Banjir Dikenal Pasti di Terengganu

4
SHARE

KUALA TERENGGANU — Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu mengenal pasti sebanyak 460 lokasi hotspot banjir di seluruh negeri sebagai persediaan awal menghadapi musim tengkujuh yang dijangka lebih mencabar tahun ini.

JPS dalam satu  kenyataan di laman Facebook rasminya memaklumkan penilaian itu dilaksanakan melalui pemetaan terperinci, analisis corak hujan, keupayaan sistem saliran serta semakan rekod sejarah banjir di setiap daerah.

“Langkah pengemaskinian hotspot berkenaan membolehkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan merangka tindakan pencegahan serta tindak balas yang lebih cekap, khususnya melibatkan kawasan berisiko tinggi.

“Pemantauan berterusan dan data yang diperhalusi penting bagi memastikan kesiapsiagaan negeri dipertingkatkan, sekali gus membantu komuniti setempat membuat persediaan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

JPS turut memaklumkan bahawa poster senarai hotspot banjir telah disusun mengikut mukim bagi setiap daerah bagi memudahkan rujukan masyarakat setempat dan pihak berkuasa.

Maklumat lengkap mengenai lokasi-lokasi hotspot tersebut boleh diakses melalui Portal Info Banjir Terengganu di laman sesawang rasmi InfoBanjir Terengganu.