Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Negeri di Bawah Bayu menjadi bualan peminat politik dalam beberapa minggu ini. Tidak mudah membaca selera serta tendensi politik di negeri yang bervariasi etnik dan agama ini.
Negeri ini kaya raya namun kemelaratan rakyat sangat menjolok mata. Berkokoklah soal parti Malaya atau parti lokal, sosio ekonomi negeri ini agak terkebelakang. Politikus meraih laba manakala jalan-jalan yang menghubungkan antara bandar tetap seperti denai babi, sentiasa bersedia untuk meragut nyawa rakyat.
Langit cerah memayungi langit Sabah, mentari malu-malu bangkit perlahan di celahan Gunung Kinabalu. Pelbagai parti politik menghantar wakil-wakil mereka untuk bertanding dalam merebut 73 kerusi DUN di mana seramai 596 orang calon serta 23 buah parti politik menghantar wakil-wakil mereka.
Perarakan sempena penamaan calon berjalan lancar pada 15 November kecuali Karambunai di mana calon tidak dibenarkan untuk berarak. Ini pastinya telah menghantar isyarat awal bahawa kawasan Karambunai bakal tergugat.
Dari pemerhatian di lapangan sepanjang lima hari awal berkempen oleh penulis, serangan ke atas PN terutamanya Dr Aliakbar Gulasan sangat ketara. Sosok berdarah kacukan ini setakat ini paling bersih, berkarisma serta dilihat menjadi sebutan serta fenomenal rakyat Sabah.
Dr Ali membawa pendekatan baru berpolitik; tidak menyerang serta membunuh peribadi lawan. Beliau telah turun ke lapangan sejak lima tahun yang lalu, sehingga makcik penjual goreng pisang pun mengenali sosok ini!
Penulis serta tim 24 orang relawan dari Jerteh, Terengganu serta relawan LESTARI turun ke pelbagai tempat membantu jentera logistik. Pelbagai program seperti penerangan, pemasangan bendera, ziarah dan aktiviti menggelombang penerangan maya, di antaranya.
Pilihan raya negeri Sabah paling sengit dengan jumlah calon yang begitu ramai, begitu juga sengitnya meraih sokongan pengundi. Masing-masing menawarkan janji-janji, mengutarakan manifesto dengan pelbagai gabungan politik.
Jentera Pakatan Harapan kelihatan berbelanja besar, jua tanpa segan silu menggunakan jentera kerajaan. PMX turun ke Sabah menggunakan pesawat rasmi kerajaan untuk berkumpul, malah bersilat lidah dalam Parlimen kononnya atas tujuan keselamatan. Itulah satu-satunya kepakaran bekas pelajar Pengajian Melayu, Universiti Malaya itu dalam bidang politik! Dalam kesesakan jalan raya di bandar raya Kota Kinabalu, rakyat terbanyak dihimpit ke tepi jalan untuk memberi laluan kepada kenderaan Perdana Menteri.
Kes merasuah pengundi bukan lagi rahsia sejak berzaman di Negeri di Bawah Bayu ini, lahan integriti dengan tiada sepicingpun rasa malu malah diulang-ulang oleh pemimpin paling berkuasa negara ini. BN gegak gempita dengan kempen untuk memajukan Sabah jika diberi kuasa, sedangkan sejak puluhan tahun mereka memang berkuasa namun Sabah tetap terkebelakang. Untuk menutup pelbagai isu besar negara maka ‘isu roti Gardenia’ dimanfaatkan semaksimum mungkin, walhal itulah realiti politik merasuah pengundi Sabah yang telah berlaku sejak puluhan tahun lagi!
PAS Sabah yang ditubuhkan pada akhir dekad 1980-an adalah di antara parti-parti politik yang konsisten berjasa kepada masyarakat terutamanya dalam bidang pendidikan dan dakwah. Parti itu yang berada dalam gabungan Perikatan Nasional antara yang mencuit perhatian rakyat Sabah pada kali ini. Parti yang telah menguasai empat buah negeri di Semenanjung itu membariskan calon-calon yang kompetitif. PAS melalui PN, meletakkan calon-calon di Karambunai, Merotai, Kunak, Tanjung Batu, Petagas dan Balung.
Datuk Dr Aliakbar Gulasan akan bertanding di Karambunai, Dr Afifi Saif akan bertarung di Petagas, Ahmad Dullah di Tanjung Batu, Dr Munzier Mahamud di Balung, Kasman Karate di Kunak serta Hasan Haris di Merotai. Calon-calon terbaik dari rahim tarbiah ini setakat ini kelihatan agak ketara menjadi _punching bag_. Kemaraan enam orang tokoh ini tidak mampu disekat lagi walaupun intelektual pengundi Sabah cuba diremehkan oleh _cytro_ musuh dengan isu roti Gardenia!
Sabah memerlukan pimpinan baru yang tidak mempunyai bagasi sejarah – pemimpin yang ingin melihat kerukunan masyarakat bukannya membina tembok kaca di antara etnik serta agama. Amat malang jika sosok yang memburu kemenangan dalam pilihan raya negeri ini terpalit dengan isu-isu rasuah, integriti malah subur dengan amalan ‘Korupsi, Kroni dan Nepotisme’ (KKN).
Ayuh warga Sabah, kalian mempunyai peluang untuk mewarnakan corak kepimpinan negeri ini! Kami menawarkan kepada anda calon-calon yang kompeten, piawai serta anak-anak Sabah yang energetik, berwawasan, berpendidikan.
(Penulis AJK PAS Pusat & Pengerusi LESTARI)





