Home Berita PAS Terengganu

50 Usahawan Terima Bantuan Modal Niaga RM50,000

4
SHARE

KUALA NERUS – Seramai 50 usahawan kecil menerima sumbangan modal perniagaan berjumlah RM50,000 melalui program anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, bantuan itu merupakan sokongan kerajaan negeri untuk membina keyakinan dan semangat rakyat agar bersungguh-sungguh mengusahakan perniagaan.

Katanya, setiap penerima menerima antara RM500 hingga RM1,000 mengikut keperluan perniagaan di mana ia merupakan komitmen kerajaan negeri bagi melahirkan lebih ramai usahawan berjaya.

“Bantuan ini adalah amanah. Ia bukan sekadar untuk kegunaan sementara, sebaliknya menjadi modal permulaan supaya mereka dapat maju hingga berjaya. Jangan disia-siakan peluang ini.

“Setiap orang akan berdepan masalah, sama ada kecil atau besar, hatta golongan bilionair sekalipun. Tetapi ujian inilah yang akan mengangkat mereka menuju kejayaan,” ujarnya dalam majlis berkenaan.

Beliau menambah pendapatan melalui perniagaan memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat khususnya apabila para usahawan berjaya menjadi pembayar zakat setelah sebelumnya mungkin bergelar penerima zakat.

Beliau turut mengingatkan usaha mendekati rakyat bukan hanya ketika musim pilihan raya, sebaliknya menjadi keutamaan pimpinan negeri setiap masa termasuk ketika menghadapi kesukaran akibat hujan lebat atau ribut.