KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri akan terus menggiatkan usaha menyemarak budaya inovasi bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih cepat, cekap dan berkesan.
Setiausaha kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia berkata, inovasi bukanlah sekadar mencipta pembaharuan namun ia adalah keberanian mencipta masa depan.

”Tema ’Transformasi Unggul Inovasi Madani’ sangat bertepatan dengan teras Malaysia Madani yang mencerminkan tekad untuk menjadikan daya cipta sebagai nadi pembangunan negara.
”Tema ini mengingatkan kita bahawa setiap penjawat awam mempunyai potensi untuk mencipta solusi yang memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Persada Inovasi Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung di Wisma Darul Iman, semalam.

Mengulas lanjut katanya, pelbagai inisiatif transformasi memerlukan komitmen sektor awam untuk mewujudkan dan memperoleh produk serta proses yang inovatif, di samping mencipta dan menggunakan kaedah pengurusan yang lebih efektif.
”Bagi memastikan inovasi yang telah dihasilkan kekal lestari, penerbitan dokumen inovasi perlu dilaksanakan untuk manfaat bersama,” ujarnya.

Justeru katanya, beliau menyarankan agar semua penjawat awam dari ’top to bottom’ piramid pentadbiran bermuafakat dan berkolaborasi.
”Ia akan membuahkan hasil dan pendekatan yang konstruktif ke arah membudaya inovasi bagi merealisasi transformasi perkhidmatan awam negara,” ujarnya.





