KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri melalui anak syarikat Agrotech Development Sdn Bhd telah mahu menubuhkan sebuah Pusat Fasiliti Agro Hijau Bersepadu yang dianggarkan bernilai RM93 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, pusat tersebut akan dibangunkan di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Daerah Kemaman.
“Merangkumi pembinaan pusat transit dan kuarantin haiwan ternakan, pusat pengumpulan dan pembungkusan hasil tani, gudang penyimpanan input pertanian, bangunan gudang penyimpanan produk sejuk beku, bangunan operasi dan pemeriksaan serta sistem integrasi solar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Surah mengenai perancangan kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai hab pengumpulan dan pengeksport hasil pertanian serta penternakan bagi meningkatkan nilai ekonomi negeri, di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, semalam.
Mengulas lebih lanjut beliau berkata, pusat tersebut ditubuhkan bagi menyediakan perkhidmatan bersepadu bagi menyokong rantaian bekalan pertanian dan penternakan negeri.
“Selain itu, TADC juga mempunyai Pusat Pengumpulan Hasil Tani (DC) di Telaga Papan, Setiu. Fasiliti ini berfungsi sebagai hab losgitik dan pemprosesan yang penting kepada strategi pertanian TADC dalam menembusi pasaran global.
“Peranan utama DC Telaga Papan adalah sebagai fasiliti pemprosesan dan pembungkusan bertaraf komersial,”ujarnya.
Justeru katanya, dengan kemudahan yang ada pusat terbabit akan memastikan setiap produk pertanian akan menjalani proses pra-pemprosesan dan pembungkusan yang efisien.
“Memenuhi piawaian kualiti dan keselamatan makanan antarabangsa yang ketat,” ujarnya.





