Home Berita PAS Terengganu

RM1.32 Bilion Royalti Petroleum Tak Masuk Akaun Kerajaan Negeri

7
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sejumlah RM1.32 bilion dana royalti petroleum milik Terengganu tidak disalur terus ke dalam akaun rasmi kerajaan negeri bagi tahun 2024 dan 2025.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat 2 November 2025 Terengganu telah direkod menerima RM1.08 bilion hasil royalti daripada anggaran keseluruhan sebanyak RM1.63 bilion  bersamaan 66.44 peratus bagi tahun ini.

Namun jelas beliau, jumlah itu menunjukkan masih terdapat sebahagian besar royalti yang tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri, sekali gus menjejaskan autonomi negeri dalam mengurus hasil sendiri.

“Setakat ini, (daripada jumlah yang direkod diterima) hanya RM583.35 juta disalurkan secara terus ke akaun kerajaan negeri, menyebabkan 47 peratus hasil royalti (RM497 juta) masih diuruskan pihak lain.

“Bagi tahun 2024 pula, kerajaan negeri hanya menerima RM733.05 juta daripada keseluruhan royalti petroleum berjumlah RM1.55 bilion, manakala selebihnya (RM820 juta) tidak dihantar terus kepada kerajaan negeri,” katanya dalam Ucapan Penggulungan Ke Atas Enakmen Perbekalan 2026 sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, penyaluran yang tidak konsisten itu turut menjejaskan kemampuan kerajaan negeri merancang dan melaksanakan program pembangunan serta kebajikan rakyat secara menyeluruh.

Beliau turut menyuarakan kekecewaannya terhadap amalan semasa yang disifatkan sebagai episod hitam negeri.

“Penyaluran juga tidak mengikut masa seperti perjanjian asal, iaitu dua kali setahun (ke akaun Kerajaan Negeri).

“Terengganu hanya menuntut apa yang termaktub dan menjadi hak negeri,” katanya.