Home Berita PAS Terengganu

Terengganu Dinafikan Autonomi Lebih 50 Peratus Royalti Petroleum

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu mendedahkan bahawa negeri itu kini kehilangan autonomi mengawal hak royalti petroleum sepenuhnya selepas lebih separuh bayaran tersebut tidak masuk ke akaun kerajaan negeri.

Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri berkata, lebih 50 peratus daripada keseluruhan hasil royalti petroleum tidak diserah untuk diuruskan Kerajaan Negeri bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Beliau menyifatkan situasi berlarutan itu sebagai satu bentuk gangguan yang menjejaskan keseluruhan perancangan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.

“Pada tahun 2024 Terengganu dilapor menerima RM1.55 bilion royalti petroleum namun hanya RM733.05 juta disalurkan terus ke akaun negeri. Ini bermakna 53 peratus daripada hasil berkenaan tidak berada dalam kawalan Kerajaan Negeri.

“Bagi tahun 2025, sehingga 2 November, Terengganu dimaklumkan telah menerima RM1.08 bilion atau 66.44 peratus daripada unjuran tahunan RM1.63 bilion, tetapi daripada jumlah itu hanya RM583.35 juta diserahkan terus kepada negeri, hampir 47 peratus hasil negeri berada di luar kawalan terus pentadbiran negeri.

“Penyaluran juga tidak mengikut masa seperti perjanjian asal, iaitu dua kali setahun (ke akaun Kerajaan Negeri). Perkara ini memberi tekanan besar kepada aliran tunai negeri dan mengganggu kelancaran pelaksanaan projek pembangunan serta program kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ucapan Penggulungan Perbahasan Enakmen Bekalan 2026 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tegas Ahmad Samsuri, secara kumulatif sepanjang 2023 hingga 2025, Terengganu hanya dibenarkan mengurus sekitar 50 peratus sahaja daripada keseluruhan hasil royalti petroleum negeri, satu keadaan yang dianggap semakin menjauh dari semangat federalisme yang matang.

Beliau turut menyuarakan kekecewaannya terhadap amalan semasa yang disifatkan sebagai episod hitam negeri.

Menurut beliau, keadaan sebegitu bukan sahaja tidak kondusif untuk pembangunan negeri, tetapi juga tidak baik untuk perjalanan sebuah negeri dalam persekutuan.

Tambahnya, Terengganu hanya menuntut apa yang termaktub dan menjadi hak negeri, dan menggesa agar penyaluran royalti petroleum dikembalikan kepada mekanisme yang konsisten, telus dan selari dengan amalan sebelum ini.