Home Berita PAS Terengganu

Bangunkan Pangkalan Data Usahawan Bersepadu

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu komited memperkukuh ekosistem keusahawanan dengan membangunkan Pangkalan Data Usahawan Bersepadu melalui inisiatif Pemerkasaan Data Usahawan Negeri Terengganu di bawah Sistem Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) dengan kos sebanyak RM200,000.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman, berkata usaha ini dilaksanakan bagi memastikan setiap bantuan dan program keusahawanan dapat disalurkan secara lebih tepat, berkesan dan tanpa pertindihan.

“Pangkalan data ini akan menghimpunkan maklumat lengkap semua usahawan yang berdaftar di bawah pelbagai agensi seperti YPU, TEKUN, MARA, SME Corp dan PBT,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pengggulungan belanjawan 2026, pada Persidangan DUN Terengganu, kelmarin.

Ariffin turut menyentuh berkenaan langkah memperkasakan keusahawanan tempatan, termasuk peniaga kecil di kawasan tumpuan pelancong seperti Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Tambah beliau, langkah ini juga akan membolehkan kerajaan memetakan data usahawan mengikut sektor dan kawasan, termasuk kategori perniagaan seperti mikro, kecil dan sederhana, bagi merangka dasar serta program intervensi yang lebih bersasar.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperkukuh sokongan kepada peniaga kecil melalui pelbagai inisiatif termasuk latihan keselamatan makanan, promosi melalui pemasaran digital, penjenamaan produk Nasi Lemak Terengganu sebagai ikon makanan pelancongan negeri dan skim bantuan papan tanda.

“Dengan langkah-langkah ini, kita mahu usahawan kecil Terengganu mampu berkembang secara mampan dan menjadi sebahagian daripada daya tarikan pelancongan negeri,” ujar beliau.