KUALA TERENGGANU — Kerajaan PAS Terengganu memperuntukkan lebih RM900,000 bagi kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf kemudahan pelancongan di Taman Eko-Rimba Lata Tembakah dan La Hot Spring, Hulu Besut.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, YB Datuk Razali bin Idris, berita tindakan tindakan diambil susulan aduan pelancong dan masyarakat tempatan berhubung keadaan infrastruktur yang semakin usang.
“Baik pulih dan penaiktarafan infrastruktur pelancongan melaksanakan kerja segera seperti pembaikan laluan pejalan kaki, papan tanda, tandas awam, tempat rehat serta kemudahan asas lain bagi meningkatkan keselesaan pelancong,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Hulu Besut Mohd Husaimi Hussin pada Sidang DUN Terengganu, pada semalam.
Menurutnya, Taman Eko-Rimba Lata Tembakah, Pejabat Daerah Besut memperuntukkan RM50,000 bagi kerja-kerja membaik pulih pondok rehat pada tahun 2025

Manakala Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu melaksanakan kerja penyelenggaraan infrastruktur bernilai RM532,000 bagi tempoh 2024–2025.
“Di La Hot Spring, Majlis Daerah Besut telah menyiapkan projek menaik taraf chalet penginapan tambahan serta kemudahan berkaitan dengan kos RM400,000 pada tahun 2023,” ujarnya.
Beliau menambah pengukuhan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) memberi sokongan terus kepada projek komuniti seperti aktiviti kayak, perkhemahan, ATV, inap desa (homestay) dan aktiviti pengalaman bagi menarik minat pelancong serta meningkatkan penglibatan masyarakat setempat.
Menurut Razali, langkah menaik taraf ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan projek jangka pendek dan inisiatif “Quick-Win” yang bertujuan memberi impak segera kepada sektor pelancongan serta keselesaan pengunjung.
“Pelaksanaan Projek “Quick-Win”, melaksanakan projek berskala kecil hingga sederhana yang mampu memberi impak segera seperti pembinaan jambatan baharu, gelanggang sukan, pusat komuniti dan peningkatan akses jalan setempat.
“Inisiatif ini dijalankan selaras dengan Rancangan Tempatan Daerah Besut 2035, yang mengenal pasti projek pelaksanaan segera serta pihak peneraju yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaannya,” ujarnya.
Tambah beliau, pemantauan berterusan dilakukan oleh MOTAC, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan semua projek berjalan mengikut jadual serta mencapai objektif yang ditetapkan.
Inisiatif penaiktarafan ini turut selaras dengan Rancangan Tempatan Daerah Besut 2035, yang mengenal pasti kawasan pelancongan Hulu Besut sebagai zon pelancongan utama negeri.





