Home Berita PAS Terengganu

Pelaburan Baharu Jana 2,256 Peluang Pekerjaan

2
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu terus mencatat perkembangan positif dalam sektor ekonomi apabila berjaya mewujudkan sebanyak 2,256 peluang pekerjaan baharu hasil daripada pelaksanaan pelaburan baharu dalam tempoh antara tahun 2024 hingga pertengahan 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman, berkata, jumlah tersebut melibatkan dua sektor utama iaitu pembuatan dan perkhidmatan, dengan sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pertumbuhan pasaran pekerjaan baharu di negeri ini.

“Sepanjang tempoh berkenaan, sektor pembuatan menyumbang 2,218 peluang pekerjaan, manakala sektor perkhidmatan sebanyak 38 peluang pekerjaan,” katanya menjawab soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Haji Khazan bin Che Mat (Seberang Takir) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, semalam.

Haji Khazan bin Che Mat

Beliau turut memaklumkan bahawa nilai keseluruhan pelaburan baharu yang direkodkan ialah RM6.278 bilion, menandakan peningkatan minat pelabur terhadap potensi industri negeri terutama dalam bidang pembuatan bernilai tinggi dan perkhidmatan berimpak besar.

Tambah beliau, kejayaan ini turut mencerminkan keberkesanan usaha promosi pelaburan hasil kerjasama strategik antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh ekosistem industri tempatan dan menarik pelaburan asing berimpak tinggi bagi menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelaburan utama di pantai timur,” katanya.