Home Berita PAS Wilayah

Kepimpinan Baharu PAS Wilayah Persekutuan Terima Watikah Pelantikan,Isyarat Gerak Kerja Lebih Tersusun Menjelang PRU16

7
SHARE

Oleh : Muhammad Abdul Fateh

KUALA LUMPUR, 11 Nov — Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Haji Azhar Yahya, telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan bagi sesi kepimpinan baharu, dalam satu majlis penuh semangat perjuangan dan ukhuwah Islamiah.

Majlis bersejarah itu diadakan sejurus selepas Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Pejabat Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Pelantikan ini menandakan permulaan rasmi gerak kerja saf kepimpinan baharu yang diamanahkan untuk memperkukuh organisasi, memperhebat gerakan dakwah serta mengukuhkan agenda perjuangan Islam di Wilayah Persekutuan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam amanatnya, Ustaz Azhar menegaskan bahawa watikah pelantikan ini bukan sekadar simbol perjawatan, tetapi satu amanah besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

“Jalankan tugas dengan penuh keikhlasan, kesungguhan dan semangat berpasukan. Inilah masa untuk kita memantapkan kekuatan dan mempamerkan keutuhan PAS sebagai wadah perjuangan Islam yang membela rakyat,” tegas beliau.

Majlis diakhiri dengan laungan takbir yang bergema menandakan semangat baharu dan tekad yang membara dalam kalangan ahli jawatankuasa untuk terus mengangkat panji perjuangan Islam di bumi Wilayah Persekutuan.

Dengan terbentuknya saf kepimpinan baharu ini, PAS Wilayah Persekutuan diyakini akan bergerak dengan lebih tersusun, mantap dan strategik, seiring dengan matlamat untuk memastikan kemenangan Islam yang hakiki menjadi kenyataan.