Home Berita PAS Terengganu

Pertahan REE Daripada Disalahguna Tindas Rakyat Palestin

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (REE) negara digunakan dalam industri senjata yang menindas rakyat Palestin.

Beliau berkata, Malaysia kini berisiko menjadi pembekal tidak langsung kepada industri pertahanan dan aeroangkasa Amerika Syarikat susulan sekatan eksport yang longgar, termasuk dalam pembuatan sistem radar, peluru berpandu, jet pejuang dan kapal perang yang digunakan rejim Zionis Israel untuk menyerang Gaza.

“Sebagai sebuah negara Islam, kita tidak boleh berdiam diri sekiranya hasil bumi daripada tanah air ini akhirnya digunakan untuk membunuh saudara seagama di Palestin.

“Ini bukan sahaja isu ekonomi, tetapi isu moral dan kemanusiaan yang amat besar,” katanya ketika berucap dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Ridzuan dalam masa sama menyokong penuh kenyataan bersama empat Menteri Besar negeri-negeri SG4 yang menegaskan bahawa REE adalah hak negeri di bawah bidang kuasa Jadual Kesembilan, Senarai II, Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut menegur tindakan Kerajaan Persekutuan yang menandatangani perjanjian antarabangsa berkaitan sumber bumi tanpa perundingan dengan negeri-negeri pengeluar, sambil menyifatkan langkah itu bercanggah dengan semangat federalisme dan menjejaskan kedaulatan negeri.

“Kerajaan Pusat perlu memastikan semua perjanjian antarabangsa yang melibatkan sumber bumi diuruskan dengan penuh tanggungjawab. Negeri seperti Terengganu berhak memastikan kekayaan ini dimanfaatkan untuk rakyat, bukan untuk kepentingan kuasa luar,” katanya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri menuntut penjelasan terbuka daripada Perdana Menteri dan Menteri MITI berhubung mekanisme kawalan ‘end-use’ bagi memastikan REE yang dieksport tidak digunakan dalam pembuatan senjata serta pelan tindakan agar industri tersebut memberi manfaat terus kepada rakyat negeri.