Home Berita PAS Terengganu

ADUN Sura Gesa Kerajaan Negeri Utamakan Pembinaan Pasar Baharu Dungun

3
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu digesa supaya mengutamakan pembinaan Pasar Baharu Dungun dalam rancangan pembangunan negeri sebagai langkah memperkukuh ekonomi rakyat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi  berkata Pasar Dungun yang ada sekarang sudah tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa, sistem saliran bermasalah, tidak selesa dan tidak selamat.

“Saya mohon agar projek pembinaan pasar baharu ini diberi keutamaan utama dalam perancangan pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan 2026 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tengku Muhammad Fakhruddin juga  menegaskan, pasar tersebut merupakan nadi ekonomi rakyat kecil termasuk nelayan, petani, peniaga serta anak muda yang mencari rezeki halal di kawasan Dungun.

“Kita mahu pasar moden yang lebih selesa, bersih dan tersusun, bukan sekadar tempat berniaga, tetapi juga simbol kemajuan ekonomi rakyat Dungun,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pembinaan pasar baharu itu akan memacu semula aktiviti ekonomi tempatan, selain memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat setempat.