Home Berita PAS Terengganu

Kempen Selamat Tinggal Umno Bakal ‘Hanyutkan BN Terengganu’

5
SHARE

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Serangan bertali arus jentera propaganda BNPH menghentam PAS namun permata tetap permata. Lihat sahaja Konvensyen PAN hari ini,tak semena mena nama PAS dipetik untuk menutup kebobrokan pengurusan parti anak didik dap itu. PAS diseluruh negara tetap meriah menerima keahlian baru, bak neon yang memicu pesona kelkatu. Semalam Dato Husein Awang, Pesuruhjaya PAS Terengganu menerima 27 borang PAS daripada penyokong Umno di Darang Buaya Jerteh Terengganu. Musim tengkujuh tetap menjadi hangat apabila Ustaz Mohd Harun Esa dan Ustaz Hishamudin Karim memberikan wejangan tentang kewajiban menggabungkan diri dengan jamaah Islam, juga isu isu domestik yang menghimpit rakyat terbanyak .

Rakyat bawahan sendiri hari ini membahas tentang naratif gelap pembenci PAS, luapan api semangat seolah bahang Pilihanraya semakin menebar aroma. Disudut lain rakyat bawahan mula bercakap di kedai-kedai kopi, serambi masjid surau, juga merambah ke pelbagai media sosial . Perbincangan seputar isu kedaulatan tanahair pasca kehadiran Presiden Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur . Turut memanaskan bilik mesyuarat, ruang usrah dan kumpulan aplikasi wassap seputar isu- isu keselamatan negara, indeks kebahagiaan menjunam teruk. Terengganu sebagai jantung hati negeri orang Melayu tetap memicu pelbagai isu. Negeri orang Islam yang dibuli Kerajaan Pusat, cukai serta hasil mahsul Terengganu diratah tapi tak dipulangkan dengan sempurna.

Umno Terengganu menggiatkan kempen menyerang kerajaan PAS Terengganu , dengan pelbagai isu yang menjadi boomerang kepada mereka sendiri. Mereka Cuba menunggang isu penganjuran RXZ, isu kenaikan tarif air, runtuhan jalan Pantai Batu Rakit, kritikan MB Terengganu terhadap RMK 13, namun sendu diserap isu nasional yang lain.Rakyat Terengganu secara umumnya berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan PAS yang dinakhodai oleh DS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Banyak faktor indeks kepuasan rakyat Terengganu terhadap kerajaan PAS yang memerintah sekarang, segalanya memungkinkan rakyat akan mengadili keseronokan ini kedalam peti undi PRN 16 ini.

Kerajaan PAS di Terengganu menunaikan manifesto sebelum ini,antaranya memberikan tanah kepada rakyat, pemberian rumah kepada rakyat miskin , pemberian lesen motor kepada anak muda secara percuma, bayaran wad kelas ketiga percuma dan lain- lain tawaran. Umno dan PH tak mampu menembak kerajaan PAS dalam keseriusan menunaikan manifesto. Untuk menyekat kemaraan PAS maka tindakan menyekat royalti dilakukan, bukan sekadar membungkam suara rakyat .

Berhijrah keluar ahli ahli Umno di Terengganu dengan kewajaran serta alasan yang munasabah. PAS Terengganu melangkah dengan senyuman bergaya dibawah kepimpinan Dato’ Ustaz Haji Husein Awang. Rakyat melihat dengan jelas perbezaan pimpinan PAS dan Umno. Gaya hidup sangat ketara. Pimpinan Umno tanpa ada kuasa tidak turun ke lapangan masyarakat, pimpinan PAS tanpa jawatan Kerajaan tetap turun menyantuni masyarakat, kenduri, bersalin ,sakit dan kematian tetap tunjuk muka!.

Sepanjang tujuh tahun ini juga,lanskap sosio budaya Terengganu yang semakin membaik, ceramah, kuliah , forum perdana, himpunan amilin adalah seperti irama yang mengasyikkan dan khabar gembira daripada rakyat negeri Terengganu. Ribuan penuntut ilmu setiap minggu berhimpun di kampong Rusila , Medan ilmu Jerteh ,Medan Ilmu Hulu Terengganu dan lain-lain lokasi negeri itu. Pengkuliah yang tersohor dan berilmu akan menambah gula dalam senyuman rakyat Terengganu bak kopi panas yang dimakan dengan nasi dagang.

Penyokong Umno sendiri mengakui bahawa kerajaan PAS Terengganu tak mengamalkan polisi balas dendam , mengheret politik menghunus permusuhan bukanlah cara pemimpin PAS dan ini menyebabkan rakyat terbanyak melihat keadilan sosial. Daripada anggota legislatif PAS, sehinggalah Pengerusi JPKK telah melaksanakan dasar tidak memilih ” bendera” dalam menyalurkan bantuan. Berbeza dengan zaman Umno BN sebelum ini memerintah, bantuan kepada kelompok penyokong pembangkang disepikan, bahkan sangat ekstrem pada dekad 80an sehingga menimbulkan pecah belah dalam masyarakat akibat penindasan dan intimidasi. Dalam keadaan mereka kalah juga lihat isu intergriti yang berlaku dalam isu KETENGAH, isu cop JPKKP dan sebagainya.

Ahli Umno sahabat kita yang perlu difahamkan matlamat berpolitik dengan nilai ukhrawi, dengan seribu satu masalah yang menimpa bangsa ini dizaman Kerajaan Madani, seolah barokah disentap yang Maha Esa. Kepimpinan PAS disemua peringkat wajib melengkapkan pakej kompetensi Kepimpinan, menguasai akar umbi setiap ceruk kawasan pengundian . Insyaallah, Terengganu akan terus bersama gelombang hijau dan penolakan total kepada kerajaan PHBN dalam PRU 16.

Terengganu tanah barokah yang menyaksikan ratusan ulama mengucur keringat, ilmu bahkan darah sejak zaman dahulu mempertahankan Deenullah. Insyaallah tahun 2026 ,kempen “selamat tinggal Umno” akan menaufan negeri ini.

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI )