KUALA TERENGGANU – Inisiatif Kerajaan PAS Terengganu melalui Portal Jodoh Darul Iman mendapat sambutan luar biasa, dengan hampir empat kali ganda pendaftaran melebihi sasaran awal iaitu 500 peserta.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, YB Dato’ Haji Hanafiah Mat berkata, pelaksanaan Portal Jodoh Darul Iman berjalan dengan lancar dan menunjukkan sambutan positif masyarakat.
Katanya, Inisiatif ini bukan sekadar platform mencari jodoh, tetapi juga usaha memperkukuh institusi kekeluargaan dan menangani isu lewat berkahwin dalam kalangan rakyat Terengganu.
“Pelaksanaan Portal Jodoh Darul Iman berjalan dengan baik dan mendapat sambutan yang sangat positif.
“Portal ini bukan sekadar platform mencari jodoh, tetapi juga satu usaha memperkukuh institusi kekeluargaan dan menangani isu lewat berkahwin dalam kalangan rakyat Terengganu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, YB Ustaz Maliaman Kassim pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Ketiga (Sidang Bajet) Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Ke-15, pagi ini.
Menurutnya, portal yang dilancarkan pada 6 Ogos 2025 dan diuruskan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) ini menyediakan platform bagi rakyat Terengganu, khususnya golongan bujang, duda, janda dan balu, untuk mencari jodoh secara patuh syariah dan terkawal.
Setakat 16 September 2025, sebanyak 2,048 pendaftar telah direkodkan, dengan 1,550 pendaftar melengkapkan proses pendaftaran dan dalam penilaian 498 orang.
Selain itu, portal ini turut mencatatkan 70 pasangan yang telah mengadakan pertemuan, sama ada secara fizikal atau dalam talian, dengan 19 pasangan masih dalam proses taaruf.
“Kategori umur peserta bawah 25 tahun, 359 orang 26-35 tahun ialah 907 orang, 36-50 tahun, 268 orang dan 51 tahun ke atas seramai 16 orang.
“Status calon, bujang 1354 orang, duda, 103 orang, janda 80 orang, balu, 13 orang dan jantina calon, lelaki 869 orang, wanita, 681 orang,” jelasnya.

Pelarasan Harga Dimuktamadkan Masjid Tanjung Putat Dimuktamad
Sementara itu, Sidang DUN dimaklumkan, Projek pembinaan Masjid Baru Kampung Tanjung Putat, Kuala Berang kini berada di peringkat pelaksanaan semula selepas menerima hala tuju baharu hasil Mesyuarat Tuntutan Peringkat Negeri pada 11 September lalu.
Dato’ Haji Hanafiah Mat berkata, projek tersebut diteruskan dengan pelarasan semula harga kontrak melalui Perjanjian Tambahan (SA) yang kini sedang dimuktamadkan.
“Berdasarkan keputusan, mesyuarat telah bersetuju projek diteruskan dengan pelarasan semula harga kontrak melalui Perjanjian Tambahan (SA) dengan had siling tambahan kos yang dibenarkan.
“Mesyuarat juga bersetuju supaya rundingan harga diadakan di antara agensi pelaksana bersama pihak kontraktor bagi memastikan keputusan pelarasan harga adalah lebih menjimatkan serta menguntungkan pihak Kerajaan Negeri,” jelasnya.
Menurut beliau, pelarasan harga baharu telah dilaksanakan pada 12 Oktober 2025 dan dipersetujui untuk dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Projek yang bermula pada 23 Januari 2022 itu mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 69.93 peratus dan kemajuan kewangan 62 peratus setakat ini. Tarikh siap semasa ditetapkan pada 4 Julai 2025 selepas diberi lanjutan masa (EOT 1) serta tambahan perjanjian kedua (SA No.2),” ujar beliau.





