
Oleh : HABSAH ALI
KUANTAN, 9 Nov : Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Dato’ Andansura Rabu, menekankan kepentingan menjaga kesihatan bagi menunaikan ibadat seperti solat, puasa dan haji ketika menghadiri Program Menyantuni Warga Asnaf di Beserah di sini hari ini.
Program ini dianjurkan oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota (DMPIM) melalui Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial, Lajnah Kesihatan bersama Jawankuasa Muslimat PAS Cawangan Beserah Tengah.
Menurut Adansura Rabu, sakit adalah sunatullah, namun ilmu kesihatan yang dikongsi dapat membantu kita menjaga diri agar terus sihat dan dapat menunaikan ibadat dengan sempurna.

Beliau juga menghargai usaha Gerobok Rezeki dan sokongan masyarakat dalam menyalurkan bantuan kepada asnaf sejak pandemik COVID-19 sehingga kini, sambil mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang.
Seramai 33 orang asnaf telah menerima barangan Gerobok Rezeki yang disampaikan oleh Andansura Rabu.

Sementara itu, Naib Ketua (DMPIM) Salbiah Seeni Abdul yang menghadiri program tersebut berkata, pengisian program tersebut adalah ceramah kesihatan, demonstrasi penyediaan makanan sihat, serta pemeriksaan kesihatan.

Katanya, program itu juga menekankan keseimbangan antara bantuan kebajikan dan kesedaran kesihatan, selaras dengan usaha Dewan Muslimat PAS membantu golongan asnaf dan masyarakat setempat.





