Home Berita PAS Terengganu

Kesal Sikap Gopoh Kerajaan Tandatangani Perjanjian MY–USA

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ameerah Terengganu menzahirkan rasa kesal terhadap sikap gopoh kerajaan dalam menandatangani Perjanjian Tarif Timbal Balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat (MY–USA) yang didakwa dibuat tanpa penjelasan terbuka serta kajian menyeluruh terhadap implikasinya kepada ekonomi negara.

Pengarahnya, Sumaiyah Zakaria berkata, tindakan tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan anak muda terhadap kesan jangka panjang yang boleh menjejaskan kedaulatan ekonomi serta kebebasan Malaysia dalam menggubal dasar perdagangan tanpa campur tangan kuasa luar.

“Ameerah berpandangan bahawa sebarang perjanjian strategik dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat mesti dibentangkan secara terbuka di Parlimen, bukan sekadar diumumkan melalui kenyataan yang kabur dan tidak menyeluruh,” katanya dalam kenyataan media, pada semalam.

Beliau berkata, kerajaan perlu segera mendedahkan kandungan sebenar perjanjian berkenaan bagi memastikan tiada unsur yang boleh menggugat kepentingan nasional atau membuka ruang kepada penguasaan ekonomi asing terhadap pasaran tempatan.

Menurutnya, Ameerah turut menegaskan keperluan supaya semua pihak termasuk pembangkang, pakar ekonomi dan pertubuhan belia diberi ruang meneliti serta menilai kesan jangka panjang perjanjian itu sebelum ia dikuatkuasakan.

“Ketelusan adalah asas kepercayaan rakyat. Jika kerajaan menyembunyikan maklumat, ia hanya akan menimbulkan syak terhadap integriti kepimpinan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Ameerah Terengganu menggesa kerajaan membentangkan perjanjian MY–USA di Parlimen untuk dibahaskan secara terbuka serta menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan pelbagai pihak bagi menilai kesannya.

Sumaiyah menegaskan bahawa kebertanggungjawaban dan keterbukaan adalah tunjang keyakinan rakyat, khususnya dalam kalangan generasi muda yang semakin peka terhadap isu kedaulatan negara.

“Kegagalan kerajaan memberikan penjelasan yang tuntas hanya akan menjejaskan kredibiliti kepimpinan PMX di mata rakyat,” ujarnya.