KEMAMAN – Kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM300,000 bagi kos bina baru jambatan di Kampung Geliga Che Akob.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato’ Hanafiah Mat berkata kerja-kerja pembinaan yang bermula sejak awal Ogos tahun ini telah siap sepenuhnya.
“Ini adalah salah satu projek untuk rakyat. Jalan di sini runtuh enam bulan yang lalu dan hari ini semuanya telah berjaya diselesaikan.
“Kami telah membina jambatan baru untuk penduduk setempat, selain pekerja-pekerja sektor perikanan yang kebiasaannya menggunakan laluan di sini,” ujarnya ketika ditemui pemberita, semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamataan Kampung (JPKK) Geliga Jambatan, Zukefeli Hamzah memanjatkan kesyukuran dan terima kasih kepada kerajaan negeri yang telah menyiapkan jambatan baru ini.”Jambatan ini merupakan salah satu laluan utama di dalam kampung kami. Adanya jambatan baru ini, sudah tentu memudahkan urusan kami keluar dan masuk di laluan ini,” katanya.




