Home Berita PAS Terengganu

‘Tak Bayar Royalti Kelantan, Terengganu Tapi Beri Berbilion Kepada Amerika’ – Hassan

17
SHARE

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, menempelak tindakan kerajaan Persekutuan yang disifatkannya sebagai tidak adil apabila masih gagal menyelesaikan isu pembayaran royalti minyak kepada negeri seperti Kelantan dan Terengganu, namun dalam masa sama menandatangani perjanjian gas asli cecair (LNG) berskala besar dengan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Hassan, langkah itu menunjukkan kerajaan lebih mengutamakan kepentingan kuasa asing berbanding rakyat dan negeri-negeri pengeluar minyak sendiri.

“Petronas bergaduh dengan sesetengah negeri tak bayar royalti kepada Kelantan, tak bayar royalti kepada Terengganu, mungkin juga kepada Sabah dan Sarawak. Kita bergaduh sesama sendiri, tapi berbilion kita bagi kepada Amerika. Saya tidak bersetuju,” katanya ketika berbahas Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat semalam.

Beliau melahirkan kekesalan terhadap tindakan Putrajaya menandatangani perjanjian tersebut ketika Presiden Donald Trump hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Trump datang, kita serah kekayaan negara,” katanya.

Hassan menyifatkan tindakan itu sebagai ‘penggadaian kedaulatan’ Malaysia kepada kuasa besar dunia yang sering mencampuri urusan antarabangsa, termasuk menzalimi Palestin.

“Beratus tahun kita mempertahankan negara ini daripada Belanda, Portugis dan Inggeris. Hari ini, Trump datang, orang yang menjahanamkan Gaza, kita sambut dia dan kita serahkan kekayaan negara. Ini pemunggahan harta negara miskin Malaysia kepada Amerika,” tegasnya.

Ahli Parlimen daripada blok kerajaan itu turut mempersoalkan peranan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang terlibat dalam rundingan berkenaan, mendakwa ia membuka ruang kepada AS mengenakan syarat berat sebelah terhadap Malaysia.

“Mana boleh dia (AS) mengenakan syarat supaya Malaysia hanya menjual nadir bumi kepada mereka. Ini penggadaian negara, ini memalukan,” katanya lagi.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan bahawa Malaysia dan AS telah menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik yang komprehensif bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran dan mempertingkat ketahanan rantaian bekalan.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Donald Trump semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan bersama Rumah Putih, kedua-dua negara menyatakan bahawa perjanjian itu akan membuka akses baharu kepada pasaran masing-masing dan memperkukuh hubungan ekonomi jangka panjang, termasuk kesinambungan kepada Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan 2004 (TIFA).

Di bawah perjanjian itu, Malaysia bersetuju memberi akses pasaran keutamaan kepada eksport barangan perindustrian dan pertanian AS seperti bahan kimia, jentera elektrik, logam, kenderaan penumpang, tenusu, ayam dan beras.