Home Berita PAS Terengganu

UAI Terima Anugerah Tokoh Murabbi Anak Muda

6
SHARE

KUALA NERUS – Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus telah dianugerahkan Tokoh Murabbi Anak Muda di Himpunan Malam Palestin Bahu Untuk Gaza bersempena program Himpunan Belia Terengganu (HEBAT)2.0, baru-baru ini.

Anugerah itu telah disampaikan oleh, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Daie Sejuta Ummah anak kelahiran Kampung Ladang Terengganu itu telah memulakan perjalanan ilmu sejak di bangku sekolah, sebelum berguru secara talaqi dengan lebih lapan guru agama di sekitar Kuala Terengganu antaranya Tuan Guru Haji Muhamad Zin dari Pondok Lubuk Pandan, Wakaf Tapai.

Beliau kemudiannya, memulakan pengajaran agama sejak tahun 1995, dan mendapat tauliah dari Kelantan dan Wilayah Persekutuan.

Selain aktif menyampaikan kuliah dan berceramah beliau juga telah menghasilkan tujuh buah buku di bawah siri terkenal ‘Anda Bertanya, Ustaz Azhar Idrus Menjawab’, juga pernah menerima Anugerah Pilihan Pembaca Popular Berita Harian (BH) 2013 di Pusat Konensyen Kuala Lumpur.

Di era media sosial, Ustaz Azhar Idrus menjadi pelopor dakwah digital, menggunakan paltform facebook sebagai medium penyampaian ilmu dengan pengikut melebihi 1.6 juta orang, bukan sahaja dari Malaysia bahkan dari Luar Negara.

Selain dunia ilmu, beliau juga dikenali dengan gaya hidup aktif, termasuk aktviti berbasikal bersama anak muda, menjadikan dakwahnya sentiasa segar dan dekat di hati masyarakat.

Beliau seorang yang gigih dan tidak pernah mengenal penat dalam menyampaikan ilmu, menjelaskan permasalahan umat dengan rujukan kitab dan fakta semasa menjadikan beliau ikon dakwah kontemporari yang disegani.