Home Kenyataan Media PAS Wilayah

PAS WILAYAH PERSEKUTUAN BANTAH KERAS PENYAJIAN ARAK DI SEKOLAH DAN INSTITUSI PENDIDIKAN

16
SHARE

PAS Wilayah Persekutuan menzahirkan bantahan tegas dan penuh rasa kecewa terhadap kenyataan Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil, yang menyatakan bahawa penyajian arak di dewan sekolah adalah mengikut “garis panduan amalan sedia ada”.

Kenyataan tersebut amat tidak wajar dan tidak sensitif terhadap nilai moral, agama dan budaya rakyat Malaysia yang menolak normalisasi arak di mana-mana ruang awam, apatah lagi di premis pendidikan yang menjadi tempat mendidik anak bangsa.

1. Tiada agama di dunia ini yang menghalalkan arak

PAS Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa arak bukan sahaja diharamkan dalam Islam, malah turut ditolak oleh ajaran dan nilai moral hampir semua agama di dunia. Menyajikan atau menormalisasikan arak dalam mana-mana majlis rasmi di sekolah adalah melanggar batas adab, nilai dan kesucian institusi pendidikan.

Sekolah seharusnya menjadi tempat memupuk akhlak, bukan medan meraikan budaya yang bertentangan dengan ajaran agama dan nilai masyarakat timur.

2. Kementerian Pendidikan perlu tampil dengan pendirian jelas

Kami juga menzahirkan rasa bimbang dengan sikap berdiam diri Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap isu ini. Ketiadaan pendirian tegas menggambarkan seolah-olah ketandusan nilai moral dan keagamaan dalam dasar pendidikan semasa.

PAS Wilayah Persekutuan menggesa agar garis panduan rasmi berkaitan penggunaan premis sekolah dikaji semula dengan memastikan tiada sebarang aktiviti yang melibatkan arak, judi, hiburan melampau atau unsur yang bercanggah dengan nilai agama dan moral masyarakat Malaysia.

3. Seruan kepada pihak kerajaan

PAS WP menyeru pihak kerajaan agar tidak berlindung di sebalik alasan “amalan sedia ada”, sebaliknya tampil menunjukkan komitmen terhadap prinsip moral dan keharmonian agama di negara ini. Malaysia bukan negara sekular mutlak nilai agama mesti dijunjung dalam setiap dasar, terutamanya yang berkaitan dengan institusi pendidikan.

4. Pendidikan mesti menjadi benteng akhlak

PAS Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa institusi pendidikan perlu menjadi benteng pembinaan sahsiah dan moral pelajar. Justeru, sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menjejaskan imej moral sekolah mesti ditolak sama sekali.

“Bangsa yang rosak akhlaknya tidak akan mampu mempertahankan maruah dan masa depannya.”

PAS Wilayah Persekutuan sekali lagi menuntut agar pihak kerajaan dan KPM menarik balik sebarang kebenaran atau kelonggaran yang membenarkan penyajian arak di mana-mana institusi pendidikan serta memperketatkan garis panduan sedia ada agar selari dengan nilai agama dan budaya Malaysia.

USTAZ HAJI AZHAR BIN YAHYA

Pesuruhjaya 

Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan

Tarikh: 25 Oktober 2025