Home Berita PAS Terengganu

“Tak Pernah Mohon, Tiba-Tiba Buat Aktiviti!”

8
SHARE

MARANG — Pihak pengurusan Masjid Rusila menafikan sekeras-kerasnya pernah menerima sebarang permohonan atau makluman daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) atau mana-mana pihak berhubung aktiviti yang didakwa berlaku di kawasan masjid pada 19 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Rusila, Mohd Azri Abdul Aziz, dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihak masjid tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang program atau aktiviti oleh agensi berkenaan sama ada secara lisan mahupun bertulis.

“Pihak kami tidak pernah menerima sebarang permohonan atau permakluman daripada pihak Maritim Malaysia. Tiada satu pun bentuk komunikasi rasmi dilakukan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak masjid telah menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan pengesahan sama ada terdapat sebarang aktiviti melibatkan agensi kerajaan pada tarikh dan masa yang dinyatakan.

“Hasil semakan dengan pihak PDRM juga mendapati tiada sebarang aktiviti dijalankan di bawah pengetahuan atau permakluman mereka,” ujarnya.

Menurutnya lagi, berikutan kekeliruan yang timbul, pihak masjid telah mengambil langkah untuk membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Selepas laporan polis dibuat, barulah kami menerima permakluman secara lisan dan permohonan maaf melalui panggilan telefon daripada pihak Maritim Malaysia,” katanya.

Mohd Azri menyatakan rasa kecewa terhadap apa yang telah berlaku.

“Kami sangat kecewa dengan tindakan dan sikap tidak profesional yang ditunjukkan oleh pihak tertentu dalam menangani perkara ini,” tegasnya.