KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak, meluahkan rasa kecewa apabila tiada insentif khusus diberikan kepada Terengganu dalam Belanjawan 2026 bagi mengiktiraf peranan negeri itu sebagai penyumbang utama tenaga hijau negara.
Menurut beliau, ketiadaan pengiktirafan itu amat mengecewakan memandangkan Terengganu telah menunjukkan keupayaan luar biasa dalam pembangunan tenaga bersih dan komited melaksanakan agenda peralihan tenaga negara.
“Terengganu melalui Pelan Induk Teknologi Hijau Negeri Terengganu (PITiH 2030) telah menetapkan sasaran agresif untuk menjadi hab tenaga hijau utama negara, dengan tumpuan kepada projek solar terapung, hidro hibrid dan hidrogen hijau,” katanya dalam perbentangan belanjawan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Dr. Alias berkata, antara projek utama negeri ialah pembangunan solar terapung Tasik Kenyir Fasa 1 yang dijangka menawarkan kapasiti sekitar 640 megawatt (MW), antara yang terbesar di Pantai Timur. Projek itu turut menggabungkan teknologi Hybrid Hydro Floating Solar (HHFS) serta pembangunan Green Hydrogen Hub.
“Jika dibangunkan secara optimum, Tasik Kenyir berpotensi menjana lebih 2,000 MW tenaga hijau tanpa menjejaskan ekologi tasik,” ujarnya.
Beliau menegaskan, usaha agresif Terengganu ini secara langsung membantu Malaysia mencapai sasaran dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk memastikan 70 peratus tenaga elektrik negara dijana daripada sumber boleh baharu menjelang tahun 2050.
Namun begitu, katanya, hala tuju peruntukan dalam Belanjawan 2026 masih menumpukan pelaburan hijau di negeri-negeri maju, manakala Terengganu langsung tidak disebut walaupun sumbangannya besar terhadap kapasiti tenaga boleh baharu negara.
“Amat malang, tumpuan pelaburan hijau masih berpusat di negeri-negeri maju. Terengganu tidak diberikan sebarang galakan fiskal yang setimpal, sedangkan negeri ini telah membuktikan keupayaan dan komitmen yang tinggi dalam pembangunan tenaga bersih,” katanya.
Menurutnya, ketidakseimbangan ini berisiko meminggirkan peluang untuk menjadikan seluruh Pantai Timur sebagai hab tenaga hijau negara, sedangkan kawasan itu mempunyai kelebihan dari segi keluasan tanah, sumber semula jadi dan infrastruktur grid tenaga sedia ada.
Sehubungan itu, Dr. Alias menggesa Kerajaan Persekutuan menilai semula dasar dan peruntukan insentif hijau agar lebih adil dan saksama, serta mengiktiraf usaha negeri seperti Terengganu yang telah lama menjadi peneraju dalam agenda tenaga bersih negara.