KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini menggesa pihak kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN), memberikan penjelasan berhubung satu latihan pasukan komando yang didakwa dilakukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sebuah masjid di Kampung Rusila, Marang, Terengganu.
Menurut beliau, kejadian yang berlaku pada tahun 2025 itu melibatkan sekumpulan individu seramai 10 hingga 15 orang dalam lima buah kenderaan yang memasuki kawasan masjid secara mengejut dan mencurigakan sekitar jam 10 pagi.
Kata beliau, mereka dikatakan memasuki ruang solat termasuk kawasan muslimat dengan memakai kasut, tanpa sebarang makluman kepada pihak masjid.
“Mereka mendakwa dari pihak polis dan masuk ke dalam masjid untuk melakukan penggeledahan. Perkara ini menimbulkan keresahan besar kepada orang ramai di situ,” katanya ketika berbahas dalam Dewan Rakyat hari ini.
Takiyuddin menjelaskan bahawa pihak pengurusan masjid telah membuat laporan polis dan hasil siasatan mendapati operasi tersebut adalah sebahagian daripada Latihan Pelarian dan Pelolosan SERE oleh pasukan Komando Star Team APMM .
Beliau mempersoalkan bagaimana sebuah agensi maritim boleh mengadakan latihan komando di darat lebih-lebih lagi di tempat ibadat tanpa pengetahuan pengurusan masjid.
“Apa SOP latihan seperti ini? Kalau saya ada senjata berlesen waktu itu, saya mungkin akan bertindak mempertahankan diri. Ini menyerupai ancaman,” katanya tegas.
Beliau turut memberi amaran agar insiden seumpama itu tidak menjadi ulangan tragedi Memali 1985.
“Kita bantah jika tempat ibadat, sama ada masjid, kuil atau gereja, dijadikan lokasi latihan ketenteraan. Hormatilah rumah ibadah semua rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.
Beliau mendesak kerajaan memberi penjelasan rasmi terhadap kejadian itu dan memastikan SOP ketat dikenakan agar insiden sebegini tidak berulang.