Minda Presiden PAS
[Bil: 73 / 2025]
APABILA ULAMA’ TIDAK BERISTIQAMAH
Ambillah teladan daripada Nabi Musa dan Nabi Harun AS yang apabila berdakwah, Allah mewajibkan mereka supaya beristiqamah. Cerita mereka disebut oleh firman Allah SWT:
وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَآ إِنَّكَ ءَاتَيۡتَ فِرۡعَوۡنَ وَمَلَأَهُۥ زِينَةٗ وَأَمۡوَٰلٗا فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّواْ عَن سَبِيلِكَۖ رَبَّنَا ٱطۡمِسۡ عَلَىٰٓ أَمۡوَٰلِهِمۡ وَٱشۡدُدۡ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ فَلَا يُؤۡمِنُواْ حَتَّىٰ يَرَوُاْ ٱلۡعَذَابَ ٱلۡأَلِيمَ ٨٨ قَالَ قَدۡ أُجِيبَت دَّعۡوَتُكُمَا فَٱسۡتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَآنِّ سَبِيلَ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ ٨٩
“Musa berkata, ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah memberi Firaun dan pemuka-pemuka kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia — wahai Tuhan kami, akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau! Wahai Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka, dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat seksaan yang pedih!’ (88) Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, telah diperkenankan permohonan kamu berdua. Oleh sebab itu, tetaplah kamu berdua di jalan yang lurus (beristiqamah) dan janganlah sekali-kali kamu mengikuti jalan orang-orang yang tidak mengetahui.’ (89)” [Surah Yunus: 88–89]
Allah menerima doa Nabi Musa dan Nabi Harun AS dengan syarat beristiqamah, bermaksud terus berdakwah di jalan yang betul bersama Islam, jangan berundur dan terpesong dari jalan yang lurus, serta jangan terpengaruh dengan harta kekayaan dan pangkat.
Dalam surah yang lain, Allah melaknat Bani Isra’il, pengikut Nabi Musa dan Nabi Harun AS apabila tidak beristiqamah ketika menunaikan kewajipan mencegah kemungkaran. Firman Allah SWT:
لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۢ بَنِيٓ إِسۡرَآءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ ٧٨ كَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنكَرٖ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ ٧٩ تَرَىٰ كَثِيرٗا مِّنۡهُمۡ يَتَوَلَّوۡنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْۚ لَبِئۡسَ مَا قَدَّمَتۡ لَهُمۡ أَنفُسُهُمۡ أَن سَخِطَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِمۡ وَفِي ٱلۡعَذَابِ هُمۡ خَٰلِدُونَ ٨٠ وَلَوۡ كَانُواْ يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلنَّبِيِّ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيۡهِ مَا ٱتَّخَذُوهُمۡ أَوۡلِيَآءَ وَلَٰكِنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُمۡ فَٰسِقُونَ ٨١
“Telah dilaknati orang-orang kafir daripada Bani Isra’il dengan lisan Dawud dan ‘Isa putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. (78) Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka berbuat. Sesungguhnya, amat buruklah apa-apa yang selalu mereka berbuat itu. (79) Kamu melihat kebanyakan mereka berwala’ (tolong-menolong) dengan orang-orang yang kafir (Musyrik). Sesungguhnya, amat buruklah apa-apa yang mereka sediakan untuk diri mereka, iaitu kemurkaan Allah kepada mereka; dan mereka akan kekal dalam seksaan. (80) Sekiranya mereka beriman kepada Allah, kepada Nabi (Musa) dan kepada apa-apa yang diturunkan kepadanya (Nabi), nescaya mereka tidak akan mengambil orang-orang Musyrikin itu menjadi penolong-penolong, tetapi kebanyakan mereka ialah orang-orang yang fasiq. (81)” [Surah al-Ma’idah: 78–81]
Ayat di atas ditafsirkan oleh beberapa hadis Rasulullah SAW [Lihat: Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, no. 4336, al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab Tafsir al-Qur’an, no. 3048, dan Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Kitab al-Fitan, no. 4006, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud]:
Terdapat kalangan ulama’ Bani Isra’il yang tidak beristiqamah apabila mencegah kemungkaran yang berlaku. Pada awalnya, mereka mencegah kemungkaran yang berlaku dalam kalangan mereka, tetapi apabila mereka melihat kemungkaran terus juga dilakukan, tiba-tiba mereka tidak memberikan nasihat atau tidak mencegahnya lagi. Berikutnya, mereka menghadiri hidangan bersama dalam jamuan yang diadakan.
Akhirnya, mereka dikira bersekongkol dengan kemungkaran dan dilaknat oleh Allah dalam kitab Taurat, Zabur, dan Injil yang diwahyukan kepada mereka, termasuklah al-Quran, kitab Nabi akhir zaman Muhammad SAW.
Disebut dalam al-Quran beberapa ayat firman Allah SWT, antaranya:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّـٰهُ لِلنَّاسِ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أُوْلَـٰٓئِكَ يَلۡعَنُهُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُهُمُ ٱللَّـٰعِنُونَ ١٥٩ إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ وَأَصۡلَحُواْ وَبَيَّنُواْ فَأُوْلَـٰٓئِكَ أَتُوبُ عَلَيۡهِمۡ وَأَنَا ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ١٦٠
“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati. (159) Kecuali mereka yang telah bertaubat, mengadakan perbaikan, dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubat mereka dan Akulah Yang Maha Menerima Taubat lagi Maha Penyayang. (160)” [Surah al-Baqarah: 159–160]
Laknat Allah, para malaikat, manusia, dan lain-lain terhadap para ulama’ yang menyembunyikan ilmu mereka dan tidak menyampaikan perkara yang benar kepada orang ramai, kerana merekalah yang menerima pusaka para anbiya’ untuk menyampaikan ajaran Allah dengan istiqamah. Apabila mereka membisu dan bersekongkol dengan kemungkaran, bermakna mereka khianat kepada pusaka ilmu yang diwarisi mereka, melainkan kalau mereka bertaubat membetulkan semula orang ramai yang sesat dengan sebab mereka.
Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَيَشۡتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلًا أُوْلَـٰٓئِكَ مَا يَأۡكُلُونَ فِي بُطُونِهِمۡ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ ١٧٤ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلضَّلَٰلَةَ بِٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡعَذَابَ بِٱلۡمَغۡفِرَةِۚ فَمَآ أَصۡبَرَهُمۡ عَلَى ٱلنَّارِ ١٧٥ ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ نَزَّلَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱخۡتَلَفُواْ فِي ٱلۡكِتَٰبِ لَفِي شِقَاقِۢ بَعِيدٖ ١٧٦
“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perutnya melainkan api, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada Hari Kiamat dan tidak menyucikan mereka, dan bagi mereka seksa yang amat pedih. (174) Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk dan seksaan dengan ampunan. Maka, alangkah beraninya mereka menentang Neraka! (175) Yang demikian itu adalah kerana Allah telah menurunkan al-Kitab dengan membawa kebenaran; dan sesungguhnya, orang-orang yang berselisih tentang (kebenaran) al-Kitab itu benar-benar dalam penyimpangan yang jauh (daripada kebenaran). (176)” [Surah al-Baqarah: 174–176]
Itulah amaran keras kepada kalangan ulama’ yang mencari makan dengan menyembunyikan Islam yang sebenar, sehingga apa-apa yang diisi di dalam perut mereka sebenarnya ialah api Neraka. Alangkah beraninya mereka terjun ke dalam Neraka kerana menjual agama Allah dengan membeli kesesatan!
Dalam ayat yang lain, Allah menyamakan mereka dengan anjing yang sentiasa teringat akan makanan dan sentiasa dalam kelaparan kerana kuat nafsu makannya. Firman Allah SWT:
وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦
سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُون١٧٧
“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berinya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikannya (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah. Maka, perumpamaannya seperti anjing; jika kamu menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika kamu membiarkannya, ia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176) Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (177)” [Surah al-A‘raf: 175–177]
Ayat di atas menceritakan seorang alim terkenal dalam kalangan umat terdahulu bernama Bal‘am bin Ba‘ura’ yang ditipu dan digoda oleh syaitan yang menggerakkannya dari belakang, walaupun dia berada di hadapan. Dia tergoda dengan kesenangan hidup dunia, sehingga bernafsu seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidahnya bagi menjilat makanan yang dicampakkan kepadanya. Alangkah hinanya laksana binatang yang najis.
Beristiqamah juga diwajibkan kepada Rasulullah SAW dan umatnya. Firman Allah SWT:
فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣
“Maka, tetaplah kamu di jalan yang benar sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat berserta kamu serta janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan. (112) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api Neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan. (113)” [Surah Hud: 112–113]
Para ulama’ menjadi sasaran kerana pengaruh mereka yang besar dalam masyarakat umat Islam. Ada yang membandingkan mereka laksana garam dalam makanan; kalau baik garamnya, maka baiklah makanannya, sebaliknya kalau rosak garamnya, maka rosaklah makanannya.
Imam al-Ghazali RH membahagikan ulama’ kepada dua kumpulan (dijelaskan secara terperinci dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din):
1. Ulama’ akhirat yang menjadikan tujuan dan wawasannya ialah kebahagiaan di akhirat yang kekal abadi.
2. Ulama’ dunia yang mencari jalan kesenangan segera di alam dunia sahaja.
Disebut oleh firman Allah SWT:
… فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا وَمَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنۡ خَلَٰقٖ ٢٠٠ وَمِنۡهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ ٢٠١ أُوْلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ نَصِيبٞ مِّمَّا كَسَبُواْۚ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ ٢٠٢
“…Maka, antara manusia ada orang yang berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia,’ dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. (200) Dan antara mereka ada orang yang berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada seksa Neraka.’ (201) Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian daripada yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya. (202)” [Surah al-Baqarah: 200–202]
Firman Allah SWT dalam menghadapi cabaran setelah kewafatan Rasulullah SAW:
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٞ قَدۡ خَلَتۡ مِن قَبۡلِهِ ٱلرُّسُلُۚ أَفَإِيْن مَّاتَ أَوۡ قُتِلَ ٱنقَلَبۡتُمۡ عَلَىٰٓ أَعۡقَٰبِكُمۡۚ وَمَن يَنقَلِبۡ عَلَىٰ عَقِبَيۡهِ فَلَن يَضُرَّ ٱللَّهَ شَيۡـٔٗاۗ وَسَيَجۡزِي ٱللَّهُ ٱلشَّـٰكِرِينَ ١٤٤ وَمَا كَانَ لِنَفۡسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ كِتَٰبٗا مُّؤَجَّلٗاۗ وَمَن يُرِدۡ ثَوَابَ ٱلدُّنۡيَا نُؤۡتِهِۦ مِنۡهَا وَمَن يُرِدۡ ثَوَابَ ٱلۡأٓخِرَةِ نُؤۡتِهِۦ مِنۡهَاۚ وَسَنَجۡزِي ٱلشَّـٰكِرِينَ ١٤٥
“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Adakah jika dia wafat atau dibunuh, kamu berbalik ke belakang (murtad)? Sesiapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan Allah akan memberikan balasan kepada orang-orang yang bersyukur. (144) Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Sesiapa menghendaki pahala dunia, nescaya Kami memberinya pahala dunia itu, dan sesiapa menghendaki pahala akhirat, Kami memberinya (pula) pahala akhirat itu. Dan kami akan memberikan balasan kepada orang-orang yang bersyukur. (145)” [Surah Ali ‘Imran: 144–145]
Amir al-Mu’minin ‘Ali KW mentafsirkannya:
فَإِنَّ الأَمْرَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْيَ عَن الْمُنْكَرِ لَا يُقَرِّبَانِ مِنْ أَجَلٍ، وَلَا يُنْقِصَانِ مِنْ رِزْقٍ.
“Sesungguhnya, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran tidak menyegerakan ajal dan tidak mengurangkan rezeki.”
Maka, alangkah lemahnya iman seseorang ulama’ yang takut kepada manusia melebihi takut kepada Allah dalam menjalankan kewajipan amar ma‘ruf dan nahi mungkar. Firman Allah SWT:
قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٤
“Katakanlah, ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Tawbah: 24]
Semua imam mazhab yang paling ramai pengikut mereka, iaitu Imam Abu Hanifah (Hanafi), Imam Malik bin Anas (Maliki), Imam Muhammad bin Idris (al-Shafi‘i), dan Imam Ahmad bin Hanbal (Hanbali) RH; mereka semua dihormati kerana beristiqamah menghadapi khalifah yang zalim pada zaman masing-masing. Imam Abu Hanifah mati di dalam penjara, Imam Malik dibelasah sehingga lumpuh tangannya, Imam al-Shafi‘i digari dan dirantai, manakala Imam Ahmad disebat sehingga jasadnya berlumuran darah.
Apabila murid-murid Imam Ahmad memujuk supaya beliau bertaqiyyah (berdalih dan berbohong) bagi menyelamatkan diri, Imam Ahmad justeru menegaskan:
إِذَا سَكَتَ الْعَالِمُ تَقِيَّةً، وَالْجَاهِلُ يَجْهَلُ، فَمَتَى يَتَبَيَّنُ الْحَقّ؟
“Apabila orang alim mendiamkan diri kerana menyelamatkan dirinya dan orang jahil terus dalam kejahilan, maka bilakah kebenaran akan ternyata dengan terangnya?”
Kalangan ulama’ menamakan para ulama’ yang membisu terhadap kemungkaran dan kezaliman ialah syaitan bisu kerana boleh mempengaruhi orang ramai kepada salah faham terhadap kemungkaran, sehingga dianggap betul apa-apa yang dibisu oleh ulama’.
Islam adalah termulia dan tertinggi bagi seseorang yang beriman sehingga meletakkannya lebih daripada dirinya sendiri dan segala kepentingan dunia.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 1 Jumada al-Ula 1447 / 23 Oktober 2025