KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid, mendesak Kerajaan Persekutuan memberi perhatian segera terhadap kemudahan asas dan infrastruktur penting di daerah Hulu Terengganu yang semakin uzur dan tertangguh.
Ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, beliau menegaskan bahawa Hospital Hulu Terengganu yang telah beroperasi sejak tahun 1991 kini berada dalam keadaan usang dan tidak lagi mampu menampung keperluan pesakit yang semakin meningkat.
“Fasiliti sedia ada sudah tidak mencukupi dan perlu dinaik taraf segera. Rakyat Hulu Terengganu berhak mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang selesa dan moden,” katanya.
Rosol turut menyentuh mengenai Kompleks Sukan Paya Besar yang telah siap dibina tetapi masih belum dibuka kepada orang ramai.
Beliau berkata, kemudahan tersebut sepatutnya dimanfaatkan segera bagi merancakkan aktiviti sukan dan riadah khususnya dalam kalangan belia tempatan.
Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Kerja Raya atas usaha berterusan dalam pembangunan laluan di sekitar Tasik Kenyir yang menjadi nadi pelancongan utama negeri Terengganu.
“Saya akan terus memantau setiap tuntutan dan memastikan rakyat Hulu Terengganu mendapat kemudahan terbaik dalam aspek kesihatan, sukan dan pembangunan,” jelasnya.





