Home Berita PAS Terengganu

Projek RM78 Juta Bukit Tebuk untuk 420 Keluarga Dungun

8
SHARE

DUNGUN – Harapan lebih 420 keluarga di Dungun untuk memiliki kediaman sendiri bakal menjadi kenyataan apabila kerajaan negeri Terengganu melancarkan Projek Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) dan Bercampur Bukit Tebuk bernilai RM78 juta, di atas tanah seluas 36.83 ekar yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek berimpak tinggi itu merupakan hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan pemaju swasta bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat memiliki rumah berkualiti.

“Pembangunan ini melibatkan kos sebanyak RM78 juta di atas kawasan seluas 36.83 ekar dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Disember 2030.

“Projek ini adalah hasil usahasama kerajaan negeri dan pemaju swasta yang akan memberi manfaat besar kepada penduduk Dungun,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir, ADUN Sura, Dr.Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Ab Rasid bin Jusoh; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Wan Adnan Wan Derahman.

Menurut beliau, projek ini merangkumi 444 unit kediaman dan komersial, termasuk 120 unit Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Jenis A, 112 unit RMM Jenis B, 140 unit rumah teres setingkat Jenis C, 38 unit rumah link banglo 1.5 tingkat Jenis D, 18 unit rumah berkembar setingkat Jenis E dan 16 unit kedai satu tingkat.

“Harga jualan bagi RMM Jenis A ditetapkan pada RM90,000 manakala Jenis B bermula RM185,000.

“Penetapan harga bagi unit komersial akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak pemaju,” jelasnya.

Wan Sukairi berkata, tawaran pembelian rumah akan dibuat mengikut kategori pendapatan isi rumah bagi memastikan golongan sasar benar-benar menikmati manfaatnya.

“RPMM Jenis A ditawarkan kepada mereka berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, manakala RMM Jenis B untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM8,000.

“Bagi rumah dan kedai komersial pula, proses jualan serta tawaran akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak pemaju,” tambah beliau.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada bekas ADUN Sura, atas peranan beliau mencetuskan idea asal projek berkenaan.

“Idea dan cadangan projek ini sudah ada sejak zaman mantan ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik yang turut bersama-sama kita pagi ini.

“Walaupun mengambil masa agak lama, akhirnya kita berjaya melaksanakan acara pecah tanah yang sangat bermakna ini.”

Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan terus melaksanakan lebih banyak projek perumahan rakyat di seluruh Terengganu bagi memenuhi impian rakyat memiliki rumah sendiri.

“Akan ada beberapa lagi projek yang akan diumumkan pada masa akan datang mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Ini menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu rakyat Terengganu yang masih belum memiliki rumah,” jelasnya lagi.

Menutup ucapannya, Wan Sukairi menyeru agar projek berkenaan menjadi simbol kemajuan dan kesejahteraan baharu buat penduduk Dungun.

“Hari ini kita berdiri di atas tanah kosong. Namun, Insyaa Allah, dalam beberapa tahun akan datang, di sinilah akan berdiri deretan rumah-rumah indah, tempat bersemainya kasih sayang dan kehidupan baharu buat ratusan keluarga,” ujarnya.