Home Berita PAS Pahang

Konvokesyen Ke-4 Maahad Tahfiz Dar Al-Abrar – Perjuangan pendidikan Islam terus subur

3
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 19 OKT — Keazaman memperkukuh pendidikan Islam terus dizahirkan melalui Majlis Konvokesyen Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al-Abrar kali ke-4 berlangsung di Bentong, semalam.

Majlis gilang-gemilang itu telah dirasmikan Penasihat Rangkaian Pusat Pendidikan dan Pengajian Islam Dar Al-Abrar yang juga merupakan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut hadir ialah YM Dato’ Maulana Helmi, Presiden Ikatan Madrasah Pahang, Tuan Qadhi Daerah Bentong, Al-Fadhil Ustaz Haji Zaharuddin bin Mohd Alias serta Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang merangkap YDP PAS Bentong, Cikgu Khairuddin Abdullah.

Seramai 36 orang pelajar diraikan dalam majlis konvokesyen kali ini, sebagai tanda kejayaan mereka menamatkan pengajian dan hafazan al-Quran di bawah bimbingan tenaga pendidik Dar Al-Abrar yang komited dengan misi melahirkan generasi huffaz berilmu dan berakhlak.

Kemuncak majlis menyaksikan Muhammad Faiz dinobatkan sebagai Pelajar Mithali 2025 yang berjaya menamatkan syahadah hafazan 30 juzuk al-Quran dengan cemerlang.

Beliau telah melengkapkan hafazan penuh dalam tempoh 15 jam 10 minit, bermula seawal jam 5.00 pagi dan berakhir pada 10.40 malam pada hari Selasa lalu sekaligus membuktikan kesungguhan, disiplin dan keberkatan ilmu yang diasuh di maahad tersebut.

Dalam ucapan perasmian, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan bahawa kejayaan institusi seperti Dar Al-Abrar adalah bukti nyata bahawa pendidikan Islam berteraskan al-Quran dan tarbiah ruhiyyah menjadi tunjang kekuatan umat dan perjuangan islam di lapangan dakwah serta masyarakat.

“PAS sentiasa menegaskan bahawa kekuatan sesebuah bangsa terletak pada kekuatan pendidikannya. Kita mahu melahirkan generasi al-Quran yang bukan sahaja menghafaz, tetapi juga menghayati dan memperjuangkan nilai Islam dalam kehidupan serta kepimpinan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para guru, ibu bapa dan pihak pengurusan Dar Al-Abrar yang istiqamah dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik generasi muda menjadi pewaris perjuangan Islam yang seimbang antara ilmu, iman dan amal.

Maahad Tahfiz Al Quran Dar Al-Abrar, Bentong ditubuhkan pada tahun 2010 dengan aspirasi perjuangan Islam dan impian untuk melahirkan generasi rabbani yang akan meneruskan perjuangan Nabi Muhammad SAW.

Di sini menurut mudirnya, Ustaz Roslan Mad Esa, bukan sahaja tempat melahirkan para penghafaz Al-Quran semata-mata tetapi lebih fokus kepada Hafiz, Daie, Faqeh dan Soleh.

Tahfiz ini juga ujar Naib Yang Dipertua PAS Bentong tersebut adalah medan untuk pelajar-pelajar ditarbiah untuk mentarbiah, dididik untuk mendidik justeru saff para guru ditanam dengan sifat Murabbi dan Murabbiah.