Home Berita PAS Pahang

YB Salamiah gesa semakan semula pekeliling disiplin sekolah

41
SHARE

oleh : HABSAH ALI

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Ahli Parlimen Temerloh, YB Salamiah Mohd Nor menggesa Kementerian Pendidikan menyemak semula peraturan dan surat pekeliling berkaitan kuasa guru disiplin di sekolah agar lebih berkesan dan sesuai dengan cabaran semasa.

Menurut beliau, ramai guru kini berasa terbatas dalam usaha mendidik pelajar selepas kuasa disiplin mereka dikekang oleh peraturan sedia ada.

“Guru hanya boleh mengajar supaya pelajar dapat A. Mereka tidak lagi boleh menegur atau memberi hukuman mendidik. Ramai guru kecewa kerana semangat mendidik semakin pudar,” katanya pada Sidang Media Ahli Parlimen Perikatan Nasional di luar Parlimen semalam.

Beliau yang juga bekas guru disiplin selama lebih 30 tahun berkata, situasi ini turut memberi kesan terhadap disiplin dan minat belajar pelajar.

“Anak-anak hari ini ramai yang hilang minat belajar kerana terlalu bergantung pada telefon bimbit dan terdedah kepada pelbagai kandungan yang tidak bermanfaat,” ujarnya.

YB Salamiah turut memaklumkan beliau menerima surat daripada guru di Temerloh yang mencadangkan supaya Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7/2003 dikaji semula.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah memperluaskan kuasa disiplin kepada guru disiplin yang dilantik serta memperkukuh pendidikan berasaskan nilai Islam dan budaya tempatan.

“Hukuman berhemah seperti rotan masih relevan jika dilaksanakan dengan kasih sayang dan penuh tanggungjawab. Ia selari dengan prinsip pendidikan Islam,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kurikulum pendidikan turut dinilai semula agar lebih menekankan pembentukan sahsiah pelajar, bukan sekadar pencapaian akademik semata-mata.

“Kementerian juga perlu meneliti semula kesan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar kerana kandungan tidak terkawal boleh mempengaruhi pemikiran dan akhlak mereka,” katanya