KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid, mencadangkan agar negara-negara Islam mengambil langkah berani dan proaktif untuk mengurangkan pergantungan terhadap Dolar Amerika Syarikat (AS) dengan menerajui penggunaan mata wang sendiri dalam urus niaga antarabangsa.
Cadangan itu disuarakan beliau ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, sambil menegaskan bahawa negara-negara Islam memiliki kekayaan sumber hasil bumi yang seharusnya memberi kelebihan untuk membentuk sistem kewangan tersendiri.
“Berkenaan kekayaan negara Islam yang memiliki pelbagai hasil bumi, saya ingin bertanya kepada Ahli Parlimen Marang, setujukah bahawa kita tidak perlu lagi bergantung kepada Dolar Amerika? Malaysia seharusnya menerajui penggunaan mata wang untuk negara-negara Islam. Kita tolak Amerika,” katanya.
Rosol turut menyatakan pendirian tegasnya menolak sebarang bentuk perjanjian yang membolehkan tentera Amerika Syarikat ditempatkan di Malaysia, sambil menegaskan perlunya dunia Islam menilai semula kebergantungan terhadap dasar kewangan AS.
Menjawab persoalan tersebut, Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan persetujuan terhadap pandangan Rosol.
Menurut beliau, sudah tiba masanya negara-negara Islam mempertimbangkan penggunaan semula mata wang dinar sebagai simbol kekuatan ekonomi bersama.
Cadangan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh autonomi ekonomi dunia Islam, sekali gus mengurangkan risiko terhadap ketidaktentuan pasaran global yang bergantung kepada Dolar AS.
Isu ini dijangka terus menjadi perbincangan utama dalam kalangan negara-negara Islam, khususnya yang berhasrat untuk meneroka alternatif baharu dalam sistem kewangan antarabangsa.