Home Berita PAS Terengganu

Budaya Kerja Menyeronokkan Tingkat Produktiviti Penjawat Awam

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Keseronokan bekerja merupakan elemen penting dalam meningkatkan produktiviti, motivasi dan kepuasan dalam kalangan penjawat awam, sekali gus memberi kesan positif terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Nara Setia, berkata pembudayaan suasana kerja yang menyeronokkan perlu diberi keutamaan kerana dalam sektor awam, kakitangan merupakan tulang belakang dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Keseronokan bekerja merujuk kepada perasaan positif yang dialami oleh pekerja ketika melaksanakan tugas mereka, yang melibatkan gabungan pelbagai elemen seperti suasana kerja yang kondusif, hubungan baik dengan rakan sekerja serta penghargaan terhadap usaha yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Hari Terbuka Psikologi Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan penampilan pelakon terkenal, Dato’ Rosyam Noor, sebagai panel jemputan dalam slot Bicara Psikologi bertajuk ‘Mode Kerja: On, Stress: Off’ yang berjaya menarik perhatian para peserta melalui penyampaian yang santai dan inspiratif.

Dalam pada itu, Dato’ Nara Setia turut mengharapkan agar suasana kerja yang kondusif dan menyeronokkan dapat diterapkan di semua peringkat jabatan kerajaan serta agensi negeri.

Beliau menegaskan bahawa adalah penting untuk membina suasana kerja yang positif, saling menghargai dan menyokong antara satu sama lain serta memberi makna yang mendalam supaya setiap individu bukan sahaja bekerja atas dasar tanggungjawab, tetapi juga kerana rasa bangga dan bahagia dalam menyumbang kepada organisasi.

Menurut beliau, pembudayaan suasana kerja yang menyeronokkan bukan sahaja merupakan satu pelaburan jangka panjang yang memberi pulangan besar kepada penjawat awam, malah turut memberikan manfaat secara menyeluruh kepada negeri.

Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa Hari Terbuka Psikologi Negeri Terengganu 2025 yang dianjurkan oleh Unit Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, telah menampilkan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat.

Antara pengisian yang diadakan termasuk Program Mental Health Fun Run & Fun Ride for Waqf 2025 yang berlangsung pada 11 Oktober lalu dan berjaya menarik penyertaan lebih 1,800 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Selain itu, turut diadakan Program Pementoran Kepimpinan dan Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Terengganu serta slot Bicara Psikologi pada hari ini sebagai kemuncak kepada program tersebut.