Home Berita PAS Terengganu

Hoki Terengganu Ukir Sejarah, Julang Empat Kejuaraan

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pasukan Hoki Terengganu (THT) terus mencipta kegemilangan dalam sejarah sukan negara apabila berjaya menjuarai Piala Sumbangsih, Liga Hoki Malaysia, Piala TNB dan Piala Tun Razak pada musim ini, sekaligus menjulang nama Terengganu sebagai kuasa besar hoki tanah air.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kejayaan ini membuktikan bahawa usaha gigih pemain dan pengurusan THT membuahkan hasil luar biasa.

“Hari ini kita dapat bersama-sama dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk menyampaikan piala yang telah dijulang oleh THT dalam kejohanan Piala Tun Razak tempoh hari.

“Kemenangan itu melengkapkan koleksi empat kejuaraan utama musim ini yang amat membanggakan seluruh rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pasukan Hoki Terengganu Menjulang Trofi Bersama Menteri Besar Terengganu di Ruang Legar U2, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya, dan juga Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Mohd Fikri Harun.

Beliau menambah, prestasi THT menggambarkan kejayaan kesinambungan pelan pembangunan sukan negeri yang memberi tumpuan kepada pembinaan bakat muda dan kekuatan pasukan secara berstruktur.

“Saya secara peribadi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para pemain-pemain THT, dan yang paling membanggakan dalam Razak Cup kali ini, ia dibarisi oleh pemain-pemain muda, itu sangat membanggakan pihak kerajaan,” ujarnya.

Hishamuddin turut menjelaskan bahawa pencapaian luar biasa ini tidak datang secara kebetulan, sebaliknya hasil sokongan berterusan kerajaan negeri serta pengurusan yang cekap di bawah Persatuan Hoki Terengganu (PHT).

“Hari ini kita menyampaikan piala terus kepada Menteri Besar Terengganu sebagai suatu tanda ucapan terima kasih THT kepada pihak kerajaan negeri atas sokongan yang berterusan untuk persatuan hoki negeri.

“Sokongan dan kepercayaan daripada kerajaan negeri menjadi nadi utama kejayaan yang dikecapi oleh pasukan ini,” tambahnya.

Beliau turut memberi bayangan bahawa kerajaan negeri akan memperkenalkan pelbagai insentif baharu bagi mengiktiraf kejayaan pasukan.

“Insya-Allah ada inisiatif yang akan diberikan cuma buat masa sekarang ini tidak diumumkan lagi kerana masih terlalu awal,” katanya.