Kerajaan Terengganu Komited Jadi Model Pentadbiran Islam
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu terus teguh melangkah sebagai model pentadbiran Islam dengan menjunjung tinggi syiar Islam yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menegaskan bahawa dalam aspek pemerkasaan serta penguatkuasaan syariah, kerajaan negeri sentiasa berusaha memperkukuh pelaksanaan undang-undang Islam dengan memperkemaskan kanun jenayah syariah dan takzir secara berterusan.
“Tinggi menggunung impian saya untuk melihat kehidupan rakyat Terengganu berpandukan syariatullah.
“Kerajaan negeri akan berusaha sehabis daya untuk mengikuti manhaj Nubuwwah, sebagaimana perjuangan Rasulullah SAW selama 23 tahun menyampaikan dakwah Islam. Justeru, belanjawan yang besar turut diperuntukkan bagi memperkasa usaha ini,” katanya.
Dr. Khalil berkata demikian ketika merasmikan Program Maulid Akbar Terengganu Berselawat Solidariti Untukmu Al-Aqsa yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini semalam.
Beliau menegaskan bahawa kedaulatan negeri atau negara hanya dapat ditegakkan melalui kepimpinan mukmin yang bertakwa, kerana hanya kepimpinan sedemikian mampu melahirkan kerajaan yang adil, bebas daripada salah urus, salah laku serta amalan rasuah.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa usaha memperluas kefahaman Islam kepada rakyat terus digiatkan melalui pelbagai pendekatan, termasuk majlis ilmu, daurah pengajian berkitab dan karnival Islami yang diadakan secara meluas di seluruh negeri.
“Semua inisiatif ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk menyuburkan sunnah perjuangan Rasulullah SAW, memastikan Islam sentiasa berada di tempat tertinggi kedaulatannya serta memperkukuh pelaksanaan syariat dalam kehidupan bernegara,” jelasnya.