Home Berita PAS Terengganu

Terengganu terus cemerlang lahirkan Atlet bertaraf dunia – Timbalan Menteri

6
SHARE

KUALA NERUS – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengiktiraf kehebatan atlet negeri Terengganu yang sentiasa mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa menerusi bakat dan pencapaian berprestasi tinggi.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, berkata Terengganu sememangnya terkenal sebagai negeri yang kaya dengan bakat serta semangat juang luar biasa, melahirkan ramai ikon sukan negara sejak dahulu lagi.

“Nama-nama besar seperti Nazmizan Mohamad, pelari pecut kebanggaan negara yang pernah beraksi di pentas Olimpik Athens 2004 berasal dari Dungun. Dari daerah yang sama juga lahir wira dunia digelar ‘The Pocket Rocketman’, Dato’ Azizulhasni Awang, yang menjadi simbol kejayaan sukan berbasikal dan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kedua-dua tokoh ini membuktikan bahawa Terengganu tidak pernah kering dalam melahirkan juara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.

Adam Adli turut menzahirkan ucapan tahniah kepada generasi baharu anak Terengganu yang meneruskan legasi kecemerlangan tersebut, antaranya Qabil Irfan Azlan yang mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan Kejuaraan Superbike Sepanyol ESBK Talent 2025.

Selain itu, beliau berkata, Muhammad Hakim Danish Ramli bakal mencipta detik bersejarah apabila membuat penampilan sulung di Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2025 dalam kelas Moto3, yang dijadual berlangsung hujung Oktober ini di Litar Antarabangsa Sepang.

Dalam pada itu, Adam Adli turut memuji pencapaian atlet wanita Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, yang beberapa kali dinobatkan sebagai ‘Ratu Pecut’ di Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

“Kejayaan mereka semua membuktikan bahawa dengan disiplin, latihan berterusan dan semangat kental, anak muda Malaysia mampu mengangkat nama negara di persada dunia,” ujarnya.