KUALA NERUS – Dalam usaha memperkukuh ekosistem sukan di Negeri Terengganu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memperuntukkan RM2.3 Juta yang melibatkan lima projek pembangunan meliputi naik taraf dan projek terbaharu.
Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, beberapa projek telah dikenalpasti untuk dilaksanakan bagi memastikan infrastruktur sukan di Terengganu di tahap terbaik.
“Dalam ucapan Perdana Menteri semasa Pembentangan Belanjawan 2026 semalam, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah turun ke setiap negeri bagi memahami keutamaan pembangunan sukan di peringkat negeri.
“Hasil libat urus tersebut turut diambil kira dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk cadangan naik taraf infrastruktur dan kemudahan sukan di Stadium Hoki Kuala Terengganu,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Sukan Negara 2025 (HSN2025) Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim.
Mengulas lebih lanjut, Adam Adli berkata keseluruhan inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh kemudahan sukan di negeri ini, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti.
“Peningkatan aktiviti ekonomi setempat dan penyertaan rakyat dalam gaya hidup aktif selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” ujarnya.