Home Berita PAS Terengganu

Persatuan Suri Rumah Negeri bakal jadi pemangkin kesejahteraan Wanita

4
SHARE

KUALA NERUS  – Kerajaan Negeri merancang untuk menubuhkan sebuah entiti atau persatuan suri rumah negeri sebagai langkah memperkukuh sokongan emosi, sosial dan ekonomi kepada golongan suri rumah di Terengganu.

Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, inisiatif itu bakal menjadi platform rasmi bagi para suri rumah berkongsi pengalaman, mendapatkan bimbingan serta membina rangkaian sokongan (“support group”) yang mampan dalam kalangan komuniti wanita.

“Hari ini, ramai suri bukan sahaja menjaga keluarga, tetapi juga menyumbang melalui usahawan mikro, kerja sambilan, jualan dalam talian dan pelbagai cara lain.

“Namun kita juga sedar, ramai suri memendam rasa, menanggung stress, dan menguruskan rumahtangga serta keluarga dalam masa yang sama.

“Kerajaan negeri memahami tekanan dan cabaran ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Suri Sejahtera (3S) yang diadakan di Kuala Nerus, semalam.

Justeru itu, beliau menegaskan bahawa suri rumah tidak pernah bersendirian.

“Hari ini kita berkumpul bukan sahaja untuk belajar, tetapi untuk saling sokong menyokong dan menguatkan antara satu sama lain.

“Atas dasar itu, kita sedang merancang penubuhan sebuah entiti atau persatuan suri rumah negeri sebagai platform sokongan kepada para suri dengan tumpuan kepada sistem sokongan emosi dan kumpulan sokongan yang membantu mereka saling menguatkan,” katanya.

Menurutnya, langkah ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri untuk memperkasa peranan suri rumah sebagai tunjang keluarga dan aset sosial negeri, selain mengiktiraf sumbangan besar mereka terhadap kesejahteraan masyarakat.

“Berdasarkan data Profil Rakyat Terengganu (PRT) 20, sehingga tahun 2025, dianggarkan terdapat 119,012 suri rumah di Terengganu, iaitu sekitar 36.08 peratus daripada jumlah isi rumah yang direkodkan.

“Angka ini menggambarkan bahawa golongan suri rumah merupakan kumpulan yang besar, sekali gus menuntut perhatian terhadap dasar dan pelam pemerkasaan suri rumah di peringkat negeri,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri mahu para suri dihargai dan tidak bersendirian.

“Melalui persatuan ini, mereka akan ada tempat untuk mendapatkan sokongan moral, perkongsian ilmu dan jaringan bantuan yang tersusun,” katanya.

Simposium Suri Sejahtera turut menjadi medan perbincangan pelbagai isu semasa melibatkan kesejahteraan suri, termasuk kesihatan mental, tekanan ekonomi dan keseimbangan peranan dalam keluarga moden.

“Langkah ini bukan hanya penghargaan moral, tetapi juga mengangkat martabat wanita sebagai tunjang pembangunan sosial negara,” ujarnya.

Beliau berharap Simposium menjadi permulaan kepada gerakan memperkasa komuniti suri rumah Terengganu agar terus berdaya, dihargai dan diiktiraf sebagai tiang utama keluarga dan masyarakat.