KANGAR : PAS mesti ada cita-cita untuk menjadi kerajaan yang akan memerintah negara dengan Islam, bukan sekadar berpuas hati sebagai sebuah parti politik Islam.
Demikian tegas YB Dato’ Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS, ketika membentangkan kertas kerja pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS bertempat di Kompleks PAS Perlis, di sini baru-baru ini.
Sejak dahulu lagi menurut beliau, ada kemahuan yang amat tinggi dalam kalangan masyarakat, untuk melihat negara ini diperintah menurut Islam.
Justeru, ujar beliau, para alim ulamak telah memulakan usaha mengadakan pertemuan dan perbincangan bagi mencari kaedah yang sesuai ke arah merealisasikan hasrat tersebut dan akhirnya mereka telah bersetuju menubuhkan PAS sebagai sebuah parti politik yang akan memperjuangkan Islam di negara ini.
Tambah beliau lagi, sejajar dengan usianya serta kekuatan yang dimiliki, PAS tidak lagi boleh berasa selesa bergerak sebagai sebuah parti politik, sebaliknya perlu bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemerintah (kerajaan) yang akan memerintah mentadbir negara mengikut panduan Islam, sekiranya diberi peluang oleh Allah S.W.T. memenangi pilihan raya umum nanti.
“Kita mempunyai tanggungjawab yang lebih besar, daripada kita sekadar membawa mesej ini (Islam) secara dalaman melalui parti kita, kita juga mesti ada hasrat untuk menjadi badan siasah yang mampu untuk memimpin masyarakat di peringkat kerajaan, sama ada negeri mahupun di peringkat negara.”
“Itu perancangan yang perlu kita ada, bukan setakat kita menjadi parti politik, kerana usia parti kita sudah menjangkau 66 tahun.”
“Saya kira, bukanlah satu jangkamasa yang pendek (66 tahun), parti kita ini sudah berada dalam arus perdana politik negara kita, kita sudah memerintah beberapa buah negeri, membuktikan PAS merupakan satu wadah politik yang mampu memimpin rakyat lebih-lebih lagi kita memimpin berteraskan kepada Islam yang suci.”
Pada akhir ucapannya, beliau turut menggesa agar seluruh pendukung dan penyokong PAS agar sentiasa berpegang teguh dengan aqidah Tauhid dan menolak sebarang bentuk fahaman (ideologi) yang bercanggah dengan Islam agar menjadi manusia yang sentiasa tunduk kepada Allah S.W.T. meskipun setelah diberi kekuasaan nanti.
{jathumbnail off}