Home Berita PAS Terengganu

Pertandingan mengail Ikan dalam longkang jadi tarikan

2
SHARE

DUNGUN – Pertandingan mengail ikan dalam longkang yang diadakan di Kampung Sungai Buaya berjaya mencuri tumpuan penduduk setempat apabila disertai pelbagai peringkat umur, sekali gus menghidupkan semula suasana kampung lama yang semakin jarang dilihat hari ini.

Program yang dianjurkan sempena YB Cakna Komuniti Sejahtera DUN Sura itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata pertandingan tersebut diadakan sebagai pendekatan santai untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat melalui aktiviti komuniti yang menyeronokkan.

“Kadang-kadang perkara kecil seperti ini yang paling bermakna. Bila tengok orang tua, budak-budak sama-sama mengail, kita rasa suasana kampung yang dulu tu hidup balik,” katanya ketika ditemui pemberita usai program berkenaan.

Beliau berkata, melalui program sebegini, masyarakat bukan sahaja dapat berhibur, malah dapat menzahirkan semangat kebersamaan dan gotong-royong yang menjadi identiti penduduk kampung.

“Bukan semua aktiviti perlu formal. Yang penting rakyat rasa dekat, rasa dihargai. Inilah semangat yang kita nak kekalkan dalam komuniti DUN Sura,” ujarnya.

Program berkenaan turut disertai penduduk setempat termasuk golongan belia, warga emas dan kanak-kanak yang memeriahkan suasana dengan gelak tawa dan sorakan setiap kali umpan mengena.