KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak menyifatkan agihan dalam Belanjawan 2026 perlu lebih seimbang dan adil, khususnya kepada Terengganu yang merupakan negeri penyumbang utama hasil minyak dan gas negara.
Beliau berkata, Terengganu wajar menerima perhatian pembangunan yang setimpal dengan sumbangannya kepada ekonomi Malaysia.
Dalam komen awalnya sejurus pembentangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, Dr. Alias turut membangkitkan isu kesesakan dan kekurangan fasiliti di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang perlu diselesaikan segera.
“Saya menyambut baik peruntukan besar yang diumumkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Belanjawan kali ini.
“Namun, angka yang besar itu mesti disertai dengan pelaksanaan yang menyeluruh di lapangan, khususnya dalam menangani isu kapasiti hospital di negeri-negeri Pantai Timur,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Menurutnya, situasi di HSNZ yang terus berdepan tekanan akibat kekurangan kemudahan dan kepakaran amat membimbangkan dan tidak wajar dibiarkan berlarutan.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan prinsip keadilan agihan fiskal antara kerajaan persekutuan dan negeri perlu ditegakkan.
“Sebagai negeri penyumbang utama hasil minyak dan gas negara, Terengganu wajar menerima perhatian pembangunan yang seimbang dengan sumbangannya terhadap ekonomi negara.
“Saya berharap agar Terengganu serta negeri-negeri Pantai Timur tidak lagi dipinggirkan, sebaliknya diangkat sebagai antara pemangkin utama pembangunan dan kesejahteraan Malaysia,” ujarnya.