KEMAMAN – Program Ladies Fun Walk (LFW) 2025 edisi kedua telah berlangsung dengan penuh semangat dan meriah apabila lebih 1,500 peserta wanita dari seluruh daerah Kemaman hadir menyertai acara yang menggabungkan elemen sukan, kebersamaan dan solidariti untuk Palestin.
Bertemakan “Bersamamu Palestin”, program kali ini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi turut membawa mesej kemanusiaan dan keprihatinan terhadap saudara Islam di bumi Palestin yang sedang diuji.
Kemuncak acara menyaksikan cabutan Grand Lucky Draw berupa Pakej Umrah 9 Hari 7 Malam yang ditaja sepenuhnya oleh Rayhar Travels, dan dimenangi oleh Nur Nadhirah Aqilah Razadianderi, 24, dari Kampung Mak Chili, Kemaman.
Ketika ditemui, Nur Nadira yang kelihatan sebak dan terharu berkata, dia tidak menyangka akan terpilih sebagai pemenang utama.
“Saya baru sahaja pulang menunaikan umrah pada bulan Ogos lalu. Tak sangka Allah panggil saya sekali lagi… mungkin ini panggilan kedua untuk saya bertemu dengan-Nya di Tanah Suci Mekah,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dia mengetahui mengenai Ladies Fun Walk 2025 melalui rakannya di aplikasi WhatsApp dan terus mendaftar selepas tertarik dengan tema serta mesej kemanusiaan yang dibawakan.
“Saya harap LFW akan diteruskan lagi pada masa akan datang. Sambutan kali ini sangat meriah, dan saya doakan agar lebih ramai warga Kemaman turut serta agar ukhuwah kita terus kuat,” tambahnya.
Penganjur turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta, penaja dan sukarelawan yang menjayakan program ini, serta berharap Ladies Fun Walk akan terus menjadi wadah kebersamaan, kesihatan dan keprihatinan ummah.