KUALA TERENGGANU- Program Mental Health Fun Run & Ride for Waqf 2025 yang berlangsung di perkarangan Wisma Darul Iman hari ini bukan sekadar aktiviti kecergasan, tetapi juga menjadi platform memperkukuh kesedaran terhadap kesihatan mental serta menyemai semangat kebajikan berasaskan wakaf.
Program edisi keempat itu dianjurkan oleh Pejabat Setiusaha Kerajaan Terengganu (SUK) melalui AKRAB Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama strategik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sempena Bulan Kesihatan Mental Sedunia 2025, bertemakan ‘Make My Day: RunRide For Waqf’.
Lebih 1,800 peserta menyertai acara larian dan kayuhan santai yang turut disertai penjawat awam, pelajar institusi pengajian tinggi, serta masyarakat umum, menampilkan suasana harmoni penuh keceriaan di tengah bandar raya Kuala Terengganu.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk Fun Run & Ride, pameran kesihatan mental, kaunter wakaf dan sumbangan amal, selain cabutan bertuah serta aktiviti kekeluargaan.
Penyertaan kali ini turut mendapat sokongan agensi kerajaan, NGO dan rakan strategik.
Menariknya, RM1,000 ditawarkan kepada agensi atau kumpulan yang menghantar peserta paling ramai, manakala dua kategori cabutan bertuah disediakan bagi kategori larian dan berbasikal dengan hadiah berupa peralatan kemas (cincin), gold bar, peralatan elektronik serta hadiah utama motosikal Honda Beat.
Menurut Pengerusi AKRAB SUK Terengganu, Zuwislan Awang, penganjuran kali ini membawa pendekatan unik apabila yuran penyertaan peserta disalurkan sepenuhnya kepada Dana Wakaf Kebajikan Negeri Terengganu.
“Dalam kita menjalani aktiviti kecerdasan sukan, jadi penerapan elemen agama itu kita masukkan. Yuran penyertaan yang kita kumpul daripada peserta ini, seratus peratus Kita infakkan kepada dana wakaf.
“Jadi maksudnya kita dapat kesihatan, fizikal dan mental serta pahala,” katanya dalam satu temubual rancangan Selamat Pagi Terengganu di saluran TV Darul Iman (TVDI) ketika mengupas mengenai acara yang telah dijalankan pagi tadi.
Beliau yang juga merupakan Setiausaha Dewan Undangan Negeri menjelaskan, kerjasama bersama MAIDAM menjadi simbol penyatuan antara kesejahteraan fizikal, mental dan rohani, selaras dengan agenda negeri memperkukuh keseimbangan hidup rakyat Terengganu.
Tambahnya, melihat pada sambutan masyarakat dalam acara lepas yang amat menggalakkan menjadi petunjuk bahawa kesedaran dan penerimaan dalam kalangan masyarakat terhadap kesihatan mental amat positif.
Menurutnya lagi, program itu kekal dilangsungkan di perkarangan Wisma Darul Iman pada kali ini sebagai lokasi tradisi penganjuran sejak kali pertama ia dilaksanakan.
“Jadi untuk penunggang basikal, jarak untuk ditempuhi adalah sejauh 42km, untuk ‘Fun Run’ itu adalah 5km dan kedua-duanya akan melalui Drawbridge. Drawbridge itu (juga) adalah laluan tradisi program ini,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Psikologi Pejabat SUK Terengganu, Mohd Yusnoruddin Mohd Yuznah, menegaskan bahawa isu kesihatan mental masih dianggap ‘pembunuh senyap’ dalam masyarakat.
“Kalau sakit fizikal orang nampak, tapi kalau sakit mental susah nak dikesan. Malah ramai segan untuk berkongsi kerana stigma. Melalui program ini, kita nak buka ruang dan fahaman bahawa menjaga kesihatan mental adalah satu bentuk ibadah juga,” ujarnya.
Menurut beliau, tema tahun ini ‘Make My Day’ membawa mesej positif bahawa setiap individu mampu menceriakan hari orang lain dan membantu menyebarkan aura kebahagiaan dalam komuniti.