KEMAMAN – Pasangan pengusaha kedai makan Warung Aziz Satar di Kampung Geliga maut dalam nahas jalan raya di Maran, Pahang, semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah pemandu, Aziz Awang, 68, dan isterinya, Hasnah Mat Nong, 64.
“Empat penumpang lain yang cedera dan kini dirawat di Hospital Temerloh ialah pekerja warung, Che Siti Suhaida Che Amat, 27; Rohani Chik, 65; Noraini Mamat, 45. serta seorang kanak-kanak, Nor Ayra Qaisara Ahmad Iduwan, 8, iaitu anak Noraini” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut Kim Wai, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux itu sedang bergerak di lorong kiri ketika tiba-tiba terbabas ke kiri jalan lalu terjunam ke dalam longkang selepas dipercayai hilang kawalan akibat permukaan jalan licin.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato’ Hanafiah Mat menzahirkan rasa sedih di atas kejadian yang berlaku itu.
“Kami terkejut selepas dimaklumkan mengenai kejadian ini, semalam. Kami berasa satu kehilangan yang besar memandangkan pasangan ini dikenali dalam dan luar daerah kerana mengusahakan kedai makan yang menjadi tarikan orang ramai di sini.
“Saya mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga mereka. Semoga Allahyarham Pok Aziz dan Allahyarhamah Hasnah ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh,” ujarnya kepada pemberita.
Terdahulu, Aziz dan Hasnah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.