KUALA TERENGGANU, 8 Oktober – Isu penempatan 18 keluarga di Kampung Habib Mohsen, Kuala Kemaman yang berlarutan lebih 15 tahun akhirnya menemui penyelesaian apabila mereka bakal menerima rumah baharu hasil inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat, berkata projek pembinaan rumah bagi keluarga terbabit kini telah memasuki fasa kedua dengan kemajuan kerja sebanyak 50 peratus.
“Alhamdulillah, inilah 18 buah rumah yang akan diberikan kepada penduduk yang terjejas. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan MAIDAM atas usaha menyelesaikan masalah rakyat ini selepas lebih tiga tahun tertangguh.
“Doakan semoga semua proses berjalan dengan lancar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menjelaskan, nama-nama penduduk yang masih belum menerima penempatan telah dibawa ke Pejabat Daerah dan MAIDAM untuk tindakan lanjut. Langkah ini membuka ruang penyelesaian selepas sekian lama mereka hidup dalam ketidakpastian.
Hanafiah turut yakin projek ini bakal menamatkan episod panjang penantian sejak 2009, sekali gus memberikan kehidupan lebih stabil kepada keluarga terlibat. Projek pembinaan rumah tersebut melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM2.1 juta.
Menurut rekod sejarah, Kampung Habib Mohsen mula didiami lebih 50 tahun lalu, apabila penduduk asal berpindah dari pesisir Kuala Kemaman akibat hakisan ombak.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999, Kerajaan Negeri Terengganu yang ditadbir oleh PAS telah memindahkan sebahagian besar penduduk ke Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Fikri dan RTB Paya Berenjut, sebahagian lagi tidak berpindah.
Kehidupan penduduk berjalan seperti biasa sehinggalah pada 11 Jun 2009, ketika pemerintahan kerajaan terdahulu, mereka menerima notis amaran pengosongan tanah selepas waris pemilik asal menuntut semula kawasan tersebut bagi tujuan pembangunan.
Ratusan penduduk telah dipindahkan ke penempatan semula RTB, namun 18 keluarga masih kekal di kawasan asal.
Mereka kemudian diarahkan oleh pihak Mahkamah untuk mengosongkan tapak tanah tersebut kepada pemilik asal.
Bagi menyelesaikan isu ini, hasil beberapa siri mesyuarat antara Kerajaan Negeri dan MAIDAM, dipersetujui untuk membiayai pembinaan rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).