Home Minda Presiden

GOLONGAN YANG MEMECAHKANBELAHKAN AGAMA

1
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 52 / 2025]
GOLONGAN YANG MEMECAHKANBELAHKAN AGAMA


Firman Allah SWT:

فَأَقِمۡ وَجۡهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفٗاۚ فِطۡرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِي فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيۡهَاۚ لَا تَبۡدِيلَ لِخَلۡقِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ ٣٠ ۞مُنِيبِينَ إِلَيۡهِ وَٱتَّقُوهُ وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَلَا تَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٣١ مِنَ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗاۖ كُلُّ حِزۡبِۢ بِمَا لَدَيۡهِمۡ فَرِحُونَ ٣٢

“Maka, hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah (Islam); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (30) Dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertaqwalah kepada-Nya serta dirikanlah solat, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah. (31) Iaitu orang-orang yang memecahbelahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa-apa yang ada pada golongan mereka. (32)” [Surah al-Rum: 30–32]

Para ulama’ tafsir al-Quran menyatakan mereka yang memecahbelahkan agama itu terdiri daripada kaum Yahudi, Nasrani, Musyrikin, dan daripada kalangan umat ini (umat Islam sendiri) yang memesongkan Islam sebagai satu-satunya agama Allah. Mereka memecahkan pula ajaran Allah atau Islam daripada perkataan al-din.

Agama Islam berbeza dengan semua agama yang lain dan ideologi ciptaan para pemikir Barat yang memisahkan agama dalam urusan agama atau kalangan yang tidak beragama. Mereka percaya kepada sebahagian rasul, namun kufur kepada sebahagian yang lain, atau beriman kepada sebahagian kitab, namun menolak sebahagian yang lain.

Hamka dalam kitabnya, Tafsir al-Azhar yang berbahasa Melayu mentafsirkan firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗا لَّسۡتَ مِنۡهُمۡ فِي شَيۡءٍۚ إِنَّمَآ أَمۡرُهُمۡ إِلَى ٱللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ ١٥٩

“Sesungguhnya, orang-orang yang memecahbelahkan agama-Nya dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikit pun tanggungjawabmu ke atas mereka. Sesungguhnya, urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahu mereka apa-apa yang telah mereka berbuat.” [Surah al-An‘am: 159]

Mereka yang memecahbelahkan agama itu termasuk kalangan sekular yang memisahkan urusan dunia daripada agama, di samping mencipta berbagai-bagai ideologi politik dan ekonomi yang sesat dan terkeluar daripada ajaran Islam.

Muncul di Mesir seorang ulama’ yang mempunyai ijazah daripada al-Azhar bernama Syeikh ‘Ali ‘Abd al-Raziq melalui tulisan bukunya yang berjudul al-Islam wa Usul al-Hukm, yang menyatakan bahawa urusan negara (politik) yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah urusan dunia yang tiada kaitan dengan urusan agama. Lantas pihak Universiti al-Azhar telah menjatuhkan hukuman dengan bertindak membatalkan ijazahnya dan memecatnya daripada sebarang jawatan yang berkait dengan urusan al-Azhar.

Beberapa orang tokoh ulama’ turut mengarang kitab bagi menyangkal fahaman yang salah itu, antaranya ialah Syeikh al-Azhar Muhammad al-Khidir Husain, Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti‘i, Syeikh Muhammad al-Ghazali, dan lain-lain.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam beberapa penulisannya juga menyanggah kalangan yang mengatakan bahawa urusan politik tiada kaitan dengan aqidah, kerana ajaran Islam seluruhnya ialah mata rantai yang tidak putus antara satu dengan yang lain. Hal ini demikian kerana, semuanya berkait dengan hukum syariat sama ada wajib, sunat, haram, makruh, dan harus yang akan dihisab oleh Allah, dicatat oleh para malaikat, dan diperhitungkan pada Hari Kiamat yang menjadi sebahagian daripada rukun iman dan Islam.

Para ulama’ pada zaman mutakhir membahagikan ilmu Islam kepada aqidah, syariat, dan akhlak (tasawuf), bukan memisahkan mata rantai ajaran Islam yang bersambung laksana rantai yang teguh.

Firman Allah SWT:

۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢

“Tidak sepatutnya bagi Mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan antara mereka beberapa orang untuk bertafaqquh (memperdalam pengetahuan mereka) tentang agama dan untuk memberikan peringatan kepada kaum mereka apabila kaum itu telah kembali kepada mereka, supaya mereka itu dapat menjaga diri.” [Surah al-Tawbah: 122]

Perkataan ‘tafaqquh’ atau ‘fiqh’ dalam agama Islam pada zaman salaf (awal Islam) ditafsirkan kepada al-din (semua ajaran Islam) yang merangkumi aqidah, syariat, dan akhlak atau Islam, iman, dan ihsan mengikut Hadis Jibril. Kemudian, mereka membuat pembahagian mengikut sistem pengajian Islam, iaitu urusan aqidah dinamakan usul al-din atau tauhid, urusan syariat dinamakan fiqh, dan urusan akhlak dinamakan tasawuf.

Kemudian, ilmu Islam dibahagikan lagi kepada ‘ulum al-Quran, ‘ulum al-hadith, usul al-fiqh, siyasah syar‘iyyah, dan maqasid al-syari‘ah. Semua urusan ini tidak boleh dipisahkan laksana mata rantai kukuh yang tidak boleh diputuskan atau dicerai-beraikan antara satu sama lain. Hendaklah mengamalkan semuanya kerana firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [Surah al-Baqarah: 208]

Bagi menyambung perjuangan para anbiya’, khususnya selepas ketiadaan nabi dan rasul serta tamatnya wahyu, maka wajib adanya kumpulan Islam yang diterjemahkan dengan jemaah, parti, gabungan, dan sebagainya.

Ada kalangan yang menyatakan perkara ini tidak ada dalam agama Islam. Hakikatnya, mereka jahil atau sengaja mengelirukan. Betapa banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyatakan kewajipan kepada adanya kumpulan tersebut, antaranya ialah firman Allah SWT:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤

“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” [Surah Ali ‘Imran: 104]

Ayat ini didahulukan dengan seruan kepada orang-orang yang beriman. Perkataan ‘ummah’ dalam al-Quran mengandungi beberapa makna, antaranya dengan makna kumpulan daripada kalangan umat Islam.
Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦

“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela! Itulah kurnia Allah, Dia memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (54) Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya, pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 54–56]

Perkataan ‘hizb’ diterjemahkan dengan makna parti yang juga bermaksud kumpulan atau jemaah yang diwajibkan kepada orang-orang yang beriman.

Ayat-ayat yang disebut di atas membawa sifat dan ciri kumpulan Islam yang wajib melangsungkan perjuangan bagi mendaulatkan Islam yang sempurna.

Antara hadis Nabawi pula ialah sabda Rasulullah SAW apabila berlakunya ujian yang merosakkan agama Islam:

‌تَلْزَمُ ‌جَمَاعَةَ ‌الْمُسْلِمِينَ ‌وَإِمَامَهُمْ.

“(Hendaklah) kamu bersama jemaah Islam dan pemimpin mereka.” [Hadis Muttafaq ‘Alaih riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Fitan, no. 7084, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1847, daripada Huzaifah bin al-Yaman]

Sabda Rasulullah SAW lagi:

‌لَا ‌تَزَالُ ‌طَائِفَةٌ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ.

“Sentiasa ada dalam kalangan umatku kumpulan yang menzahirkan kebenaran (Islam), mereka tidak boleh dimudaratkan oleh kalangan yang mengecewakan mereka, sehingga datangnya urusan Allah (memenangkan mereka), mereka masih dalam keadaan demikian.” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1920, daripada Thauban bin Bujdud]

Ajaran sesat tersebut menjadi senjata penjajah bagi menyekat kebangkitan semula Islam, dengan menggunakan kalangan mereka yang jahil serta para ulama’ yang tidak bertafaqquh atau yang dibeli dengan harta dan pangkat. Firman Allah SWT:

وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ ٤٨

“Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa-apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan memelihara serta mengawasi kitab-kitab yang lain itu. Maka, putuskanlah perkara mereka menurut apa-apa yang Allah turunkan, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allahlah kembali kamu semuanya, lalu Dia memberitahumu apa-apa yang telah kamu perselisihkan itu.” [Surah al-Ma’idah: 48]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 24 Safar 1447 / 18 Ogos 2025