Home Minda Presiden

MENGAPA PARTI INI LAYAK DINAMAKAN ISLAM?

1
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 54 / 2025]
MENGAPA PARTI INI LAYAK DINAMAKAN ISLAM?


Meletakkan nama Islam terlalu mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja, tetapi meletakkan Islam yang sebenar adalah banyak cabaran dan halangannya, di samping wajib menghadapi kepayahan dan merempuh rintangan dengan penuh pengorbanan kerana ramai musuhnya.

Kini, mana-mana pihak yang menyatakan Islam yang sebenar dan Islam yang sempurna pasti dilabel sebagai pelampau sehingga pengganas serta dimasukkan dalam agenda Islamofobia, malah dikepung dan difitnahkan.
Islam hanya boleh dibenarkan apabila mengikuti kemahuan musuhnya, ataupun Islam itu dirancang oleh musuhnya atau mereka yang berpura-pura Islam, atau tidak mengikut Islam menurut perintah Allah yang menegakkan aqidah tauhid dan menolak segala bentuk syirik.

Firman Allah SWT:

۞قَالَتِ ٱلۡأَعۡرَابُ ءَامَنَّاۖ قُل لَّمۡ تُؤۡمِنُواْ وَلَٰكِن قُولُوٓاْ أَسۡلَمۡنَا وَلَمَّا يَدۡخُلِ ٱلۡإِيمَٰنُ فِي قُلُوبِكُمۡۖ وَإِن تُطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ لَا يَلِتۡكُم مِّنۡ أَعۡمَٰلِكُمۡ شَيۡـًٔاۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٌ ١٤

“Orang-orang Arab Badwi itu berkata, ‘Kami telah beriman.’ Katakanlah, ‘Kamu belum beriman, tapi katakanlah: “Kami telah Islam,” kerana iman itu belum masuk dalam hati kamu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangkan sedikit pun pahala amalanmu. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’” [Surah al-Hujurat: 14]

Ayat ini mendedahkan kalangan munafiq yang mahu akan harta ketika Islam berkuasa di Madinah, apabila mereka datang mengaku Islam dengan ucapan mereka.

Islam yang sebenar pasti disertakan dengan iman yang ikhlas dan pasti menghadapi ujian daripada Allah serta terpaksa berdepan dengan segala musuhnya yang zalim. Firman Allah SWT:

الٓمٓ ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٣

“Alif lam mim. (1) Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedangkan mereka tidak diuji lagi? (2) Dan sesungguhnya, kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya, Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (3)” [Surah al-‘Ankabut: 1–3]

Islam yang sebenar hanya satu sahaja dan menolak segala yang lain daripadanya. Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya atas segala agama, meskipun orang-orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]

Musuh-musuh Islam ialah semua kalangan yang benci terhadap Islam dan menentangnya sepanjang zaman, di samping memaksa penganutnya meninggalkan Islam atau sedia dipergunakan bagi menentang Islam. Firman Allah SWT:

… وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْۚ … ٢١٧

“…Mereka (musuh Islam) tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka dapat memesongkan kamu daripada agama kamu (Islam), seandainya mereka mampu…” [Surah al-Baqarah: 217]

Mereka yang benar-benar Islam akan menyelamatkan keimanan dan keislaman mereka dengan istiqamah, walaupun difitnah, dihina, dihalau, dan dipulaukan. Mereka tetap berjihad mempertahankan Islam dan menentang musuhnya, walau apa-apa jua kesusahan yang dihadapi berserta pengorbanan harta dan jiwa raga.

Mereka yang benar-benar Islam juga berpegang teguh dengan keimanan mereka laksana simpulan tali yang tidak boleh dirungkaikan. Firman Allah SWT:

لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٢٥٦

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam). Sesungguhnya, telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Oleh itu, sesiapa yang ingkar kepada taghut (pelampau yang menentang Islam) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya, dia telah berpegang pada simpulan tali yang amat kuat yang tidak akan mampu dirombak. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 256]

Inilah Islam yang dianut oleh para anbiya’ yang berdakwah serta berjihad, lalu diteruskan oleh pengikut mereka yang setia pada sepanjang zaman dan menghadapi sesiapa sahaja yang menentang mereka.

Kumpulan Islam wajib diadakan oleh mereka yang beriman yang tidak berhenti dengan kewafatan para anbiya’, khususnya pada akhir zaman yang tidak ada rasul lagi. Kumpulan Islam yang berantai tidak boleh diputuskan, kerana perintah Allah SWT kepada mereka yang beriman perlu memenuhi ciri-cirinya:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤

“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” [Surah Ali ‘Imran: 104]

Perkataan ‘ummah’ dalam ayat ini ialah satu kumpulan dalam kalangan mereka yang beriman hendaklah bercirikan tiga rukun:

1. Dakwah kepada kebajikan (menyeru Islam yang sempurna daripada perkataan al-din, bukan agama sahaja).
2. Amar ma‘ruf (menyuruh kepada kebajikan, iaitu semua ajaran Islam).
3. Nahi munkar (mencegah kemungkaran dan menentangnya) setinggi-tingginya, sehingga Islam itu berkuasa dan berdaulat memerintah negara.

Inilah perkara yang dilaksanakan kewajipannya oleh para rasul serta para ulama’ dan umara’ yang mewarisi ilmu dan perjuangan mereka.

Kumpulan ini wujud pada masa umat Islam kuat berkuasa mahupun pada masa umat mengalami kelemahan tidak berkuasa sehingga dijajah. Mereka tidak menyerah kalah dan tidak boleh dihapuskan.

Firman Allah SWT menyatakan keteguhan kumpulan ini:

أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا كَلِمَةٗ طَيِّبَةٗ كَشَجَرَةٖ طَيِّبَةٍ أَصۡلُهَا ثَابِتٞ وَفَرۡعُهَا فِي ٱلسَّمَآءِ ٢٤ تُؤۡتِيٓ أُكُلَهَا كُلَّ حِينِۢ بِإِذۡنِ رَبِّهَاۗ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَكَّرُونَ ٢٥

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik (Islam) seperti pohon yang baik; akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit (Islam yang sebenar). (24) Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. (25)” [Surah Ibrahim: 24–25]

Kumpulan Islam yang sebenar laksana pokok yang teguh tunjangnya. Walaupun dahan dan rantingnya ditebang dan dipotong, tunas dan cabangnya tetap tumbuh semula.

Di sana, ada yang mencipta Islam baharu yang dibenarkan oleh musuh Islam bagi menentang Islam dengan bertopengkan Islam. Mereka menjadikannya agama ciptaan manusia menggunakan akal manusia yang lemah dengan cara mengubah nas-nas yang menjadi ilmu Allah SWT dan kebijaksanaan Rasulullah SAW yang bermukjizat.

‘Abdullah bin Mas‘ud RA pernah berkata:

كَيْفَ أَنْتُمْ إِذَا لَبِسَتْكُمْ فِتْنَةٌ يَهْرَمُ فِيهَا الْكَبِيرُ، وَيَرْبُو فِيهَا الصَّغِيرُ، وَيَتَّخِذُهَا النَّاسُ سُنَّةً، فَإِذَا غُيِّرَتْ، قَالُوا: غُيِّرَتِ السُّنَّةُ؟

“Bagaimana keadaannya jika kalian ditimpa fitnah yang membuat orang-orang tua menjadi semakin lemah manakala anak-anak kecil pula semakin meningkat dewasa, lalu orang ramai ketika itu mengamalkan suatu perbuatan atau perkara yang menyeleweng? Namun, ketika datang orang yang ingin mengubah keadaannya, mereka justeru berkata,

‘Kenapa perkara ini hendak diubah?’”

Orang ramai pun bertanya:

وَمَتَى ذَلِكَ، يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ؟

“Bilakah hal itu akan terjadi, wahai Abu ‘Abd al-Rahman?”

‘Abdullah bin Mas‘ud menjawab:

إِذَا ‌كَثُرَتْ ‌قُرَّاؤُكُمْ، وَقَلَّتْ فُقَهَاؤُكُمْ، وَكَثُرَتْ أُمَرَاؤُكُمْ، وَقَلَّتْ أُمَنَاؤُكُمْ، وَالْتُمِسَتِ الدُّنْيَا بِعَمَلِ الْآخِرَةِ.

“Apabila antara kalian ramai pembaca al-Quran, sedangkan para fuqaha’ sedikit, dan munculnya ramai pemimpin, sedangkan orang yang mempunyai sifat amanah sedikit, serta ketika dunia dicari dengan jalan akhirat.” [Riwayat al-Darimi, Musnad al-Darimi, al-Muqaddimah, no. 191, al-Hakim, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Kitab al-Fitan wa al-Malahim, no. 8570, dan lain-lain]

Maksudnya, berlaku bencana pada akhir zaman apabila ramainya pembaca dan huffaz al-Quran, namun hanya sedikit sahaja yang memahami al-Quran agar dijadikan hidayah Allah kepada manusia. Demikian juga, ramainya ulama’ yang berilmu yang mempelajari hukum sahaja tanpa kefahaman, tetapi hanya sedikit para fuqaha’ yang berilmu dan faham untuk menyatakan Islam boleh menyelesaikan masalah semasa yang baharu yang tidak ada pada zaman dahulu, di samping menghadapi masyarakat dan keadaan yang berbeza sehingga dapat menarik banyak pihak.

Ada yang dinamakan gerakan haddathah membawa Islam ciptaan baharu sehingga merobohkan dasar dan hukumnya atas nama kemodenan, dengan menampilkan istilah asing kepada Islam seperti Islam liberal dan Islam progresif, selain menggunakan perkataan Arab seperti madani, adil, ihsan, dan sebagainya. Inilah yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗا لَّسۡتَ مِنۡهُمۡ فِي شَيۡءٍۚ إِنَّمَآ أَمۡرُهُمۡ إِلَى ٱللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ ١٥٩

“Sesungguhnya, orang-orang yang memecahbelahkan agama mereka dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikit pun tanggungjawabmu kepada mereka. Sesungguhnya, urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahu mereka apa-apa yang telah mereka berbuat.” [Surah al-An‘am: 159]

Merekalah yang mencipta perkara baharu yang diberi nama Islam yang tiada kaitan dengan ajaran Islam, dengan memecahbelahkan ajaran Islam, mempercayai sebahagian, dan menolak sebahagian yang lain.
Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ ‌أَحْدَثَ ‌فِي ‌أَمْرِنَا ‌هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ.

“Sesiapa yang mencipta perkara yang tiada kaitan dengan urusan kami (Islam), nescaya ditolak.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sulh, no. 2697, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Aqdiyah, no. 1718, daripada ‘Aishah]

Mereka menganggap kumpulan Islam yang berpegang pada sumber ajarannya, iaitu al-Quran, hadis, ijmak, dan qias sebagai tidak profesional dan bodoh. Firman Allah SWT:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤۡمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُۗ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَٰكِن لَّا يَعۡلَمُونَ ١٣

“Apabila dikatakan kepada mereka, ‘Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman.’ Mereka menjawab, ‘Akan berimankah kami sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?’ Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak tahu.” [Surah al-Baqarah: 13]

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ialah mata rantai kumpulan Islam yang berasal daripada badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Islam Se-Tanah Melayu yang diringkaskan sebutannya sebagai PAS, setelah Hizbul Muslimin diharamkan oleh penjajah sebelumnya, malah sebelumnya lagi Syarikat Islam (Sarekat Islam) yang menentang penjajah. Para ulama’, raja, dan pemimpin yang berjuang menentang penjajah ada yang gugur syahid, dipenjarakan, dibuang ke luar negeri, dan lain-lain.

PAS meneruskan cahaya Islam yang datang ke Nusantara dengan Islam berdaulat bersama peranan para ulama’, raja, dan rakyat yang menegakkan Islam sehingga berkuasa.

Penjajah gagal memadamkan cahaya Islam mengikut janji Allah SWT:

يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir membenci. (😎 Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya atas segala agama, meskipun orang-orang Musyrik membenci. (9)” [Surah al-Saff: 8–9]

Para pemimpin daripada ulama’ dan umara’ (para raja dan pemimpin masyarakat) meneruskan perjuangan Islam dengan istiqamah bergantung kuat pada tali agama Allah yang terpelihara dalam al-Quran dan Hikmah Sunnah Nabawiyyah. Mereka menubuhkan kumpulan parti, jemaah, atau kumpulan yang berjenama Islam.

Tidak mudah memakai nama Islam ketika Islam dalam keadaan dagang dikepung dari segenap penjuru oleh musuh luar yang menjatuhkan kerajaannya dan menjajah tanah airnya. Bahkan, penganut Islam juga dijajah fikiran dan kefahaman mereka, sehingga mereka dapat dipusing menjadi musuh yang sama-sama pernah menjatuhkan kerajaannya sendiri, malah bersekongkol dengan musuh serta menentang para ulama’ dan pemimpin yang mempertahankan dan berjuang menegakkan semula kemuliaan Islam. Islam berada dalam kepungan sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا، ‌فَطُوبَى ‌لِلْغُرَبَاءِ.

“Islam bermula dalam keadaan dagang, dan akan kembali menjadi dagang sebagaimana ia bermula, maka beruntunglah mereka yang dagang itu (mendapat kebaikan dunia dan akhirat).” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 145, daripada Abu Hurairah]

Pada awalnya, pengikut Islam dipencilkan dan dikepung oleh musuh daripada kaum dan bangsanya sendiri serta dari luar, sehingga mereka yang berjuang menghadapi kesusahan dan cabaran yang besar. Pada akhir zaman juga, Islam akan kembali semula sepertimana awalnya.

Penentangan terhadap kumpulan Islam diteruskan selepas dikatakan mencapai kemerdekaan pada zahirnya, di samping Islam tetap dipinggirkan oleh penganut yang dipergunakan oleh penjajah.

Di Tanah Melayu sendiri, ada kalangan orang Melayu Islam yang dijajah fikiran mereka meletakkan Islam lebih bahaya daripada komunis, dan penubuhan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol dikatakan ‘bahaya dari gunung’ sehingga diharamkan oleh penjajah dengan sokongan Melayu itu yang masih bersolat, berpuasa, dan berhaji. Ketika inilah, PAS mengambil alih menyambung perjuangan Islam. Sebahagian mereka yang terlibat menubuhkan PAS menghadapi ujian kezaliman penjajah dan selepasnya.

PAS menetapkan Islam dalam perlembagaannya sebagai hukum tertinggi yang tidak boleh diatasi oleh yang berlawanan dengannya. PAS juga dikawal oleh Majlis Syura Ulamak yang bertafaqquh bukan sahaja alim dalam ilmu agama, malah bersamanya ilmuwan dalam segala aspek keduniaan yang beristiqamah bersama Islam, walaupun berpendidikan Barat. Kumpulan ini berada dalam kedudukan yang teguh dalam Islam yang berjenama al-din, yang tidak ada dalam segala agama dan ideologi lain yang diciptakan berpisah daripada agama.

Kefahaman sekularisme yang berjaya menawan pemikiran Melayu Islam tercetus apabila mereka pernah mendesak supaya PAS diharamkan meletakkan nama Islam. Oleh sebab perkara agama berada bawah Majlis Raja-Raja, maka Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) diminta mengadakan muzakarah pada tahun 2001. Tiba-tiba, keputusannya tidak salah meletakkan nama Islam kepada parti politik, dengan syarat tidak menyalahgunakannya.

PAS tidak menyalahgunakan nama Islam kerana PAS bertujuan mendapat keredaan Allah, bukan keredaan manusia, sehingga PAS terus bergerak pada masa menang mahupun kalah dalam pilihan raya. PAS tidak lemah dengan meninggalnya pemimpin, kehilangan sokongan manusia, jatuhnya kerajaan negeri yang diperintah, atau dipecat daripada kerajaan pusat dalam kerjasamanya. Hal ini demikian kerana, PAS berpegang pada sabda Rasulullah SAW:

مَنِ التَمَسَ رِضَاءَ اللَّهِ ‌بِسَخَطِ ‌النَّاسِ كَفَاهُ اللَّهُ مُؤْنَةَ النَّاسِ، وَمَنِ التَمَسَ رِضَاءَ النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ وَكَلَهُ اللَّهُ إِلَى النَّاسِ.

“Sesiapa yang mencari keredaan Allah, sekalipun memperoleh kemurkaan manusia, maka Allah akan mencukupkan kebergantungannya terhadap manusia. Sesiapa yang mencari keredaan manusia, sekalipun memperoleh kemurkaan Allah, maka Allah akan menyerahkannya kepada manusia.” [Hadis riwayat al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-Zuhd, no. 2414, daripada ‘Aishah]

Dalam riwayat lain, sabda Rasulullah SAW:

مَنِ الْتَمَسَ رِضَا اللهِ بِسَخَطِ النَّاسِ، رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، وَأَرْضَى النَّاسَ عَنْهُ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللهِ، ‌سَخَطَ ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ، وَأَسْخَطَ عَلَيْهِ النَّاسَ.

“Sesiapa yang mencari keredaan Allah, walaupun dimusuhi oleh manusia, nescaya Allah meredainya, dan akhirnya Allah menjadikan manusia meredainya. Sesiapa yang mencari keredaan manusia, walaupun dimurkai oleh Allah, nescaya Allah memurkainya, dan akhirnya Allah menjadikan manusia memarahinya.” [Hadis riwayat Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, al-Qism al-Awwal, no. 716, daripada ‘Aishah]

Fitnah terhadap Islam tetap gagal, termasuk senjata terakhir yang digunakan iaitu Islamofobia. Kejayaan kumpulan Islam Palestin dalam operasi Taufan al-Aqsa menembusi pertahanan negara haram Zionis Israel serta keganasannya yang paling melampau dan ganas, dengan sokongan kuasa besar Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat, menarik simpati seluruh dunia kepada Islam.

Kini, PAS menerima kebenaran hadis tersebut kerana mendapat sokongan ramai dalam kalangan penganut Islam, khususnya generasi muda dan dapat menembusi kalangan masyarakat bukan Islam yang memberikan kepercayaan dari segi integriti, dengan terbukti melalui negeri yang diperintah berserta peranan Ahli-ahli Parlimen (Dewan Rakyat), Dewan Negara, dan Dewan Negeri, di samping para pendakwah dan ilmuwan.

Mereka menunjukkan sikap berprinsip dan istiqamah, walau dalam keadaan demokrasi yang tempang terhadap Islam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, sehingga ahli PAS ditekan, ditahan, dan dipulaukan. Mereka yang tidak ikhlas bersama PAS kerana mencari makan dan mengajar pangkat pasti kepanasan meninggalkan PAS.

Akhirnya, nama Islam diminati semua pihak sehingga lahirnya banyak kumpulan Islam. Namun, ada yang tidak memenuhi ciri-cirinya sebagaimana yang disebut dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 104 tadi dan tafsirnya dalam Surah al-Ma’idah, ayat 54 hingga 56 yang menyatakan sifat kumpulan Islam:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦

“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela! Itulah kurnia Allah, Dia memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (54) Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya, pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 54–56]

Perlu dibezakan kumpulan Islam yang pelbagai; ada yang bersifat dakwah yang berpisah daripada politik, ada yang hanya amar ma‘ruf, tetapi tiada nahi munkar, serta ada yang bersifat pendidikan dan kebajikan masyarakat sahaja (tidak memenuhi perkataan al-din). Terpenting ialah bersatu berpegang dengan simpulan tali yang satu dan bernaung di bawah payung Islam yang satu. Jangan hanya bertopeng menjadi alat musuh.

PAS tetap beristiqamah meletakkan nama Islam pada dirinya sejak ditubuhkan pada zaman penjajah dan menjadi kebanggaan kepada ahlinya, walau apa-apa sahaja tuduhan dan momokan yang dilemparkan di kiri dan kanan dalam perjalanannya, sejak zaman menentang penjajahan sehinggalah kerajaan selepasnya yang meneruskan agenda penjajah.

Islam yang sebenar dan sejati adalah satu sahaja. Adapun yang lain yang berjenama Islam dapat disuluh kepalsuannya dengan nyata melalui cahaya ilmu Islam yang sebenar daripada al-Quran dan Hikmah Nabawiyyah yang teguh dan kekal dipelihara Allah selama-lamanya. Kalau jenama Islamnya tidak dibenci oleh musuh Islam, maka sudah pasti menandakan kepalsuannya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Safar 1447 / 23 Ogos 2025