Home Minda Presiden

KE ARAH KEMERDEKAAN PENDIDIKAN DAN PELAJARAN

3
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 57 / 2025]
KE ARAH KEMERDEKAAN PENDIDIKAN DAN PELAJARAN


Pendidikan ialah usaha dirancang untuk membina syakhsiah mereka yang dididik dalam pelbagai aspek seperti rohani (spiritual), akhlak mulia, kecerdasan, dan kewibawaan agar bermanfaat bagi agama, diri, keluarga, masyarakat, bangsa, dan negara. Pelajaran pula ialah sekadar memberikan ilmu pengetahuan yang diajarkan dan dipelajari.

Islam menyatakan pendidikan dan pelajaran mestilah secara menyeluruh dan bersepadu (holistik) bagi mengisi keperluan fitrah kejadian manusia yang memiliki jasad, roh, akal, nafsu, serta kehidupan diri, berkeluarga, dan bermasyarakat yang menjadi mata rantai yang tidak boleh dipisahkan. Hal ini supaya manusia mencapai tujuan penciptaan mereka, iaitu memperhambakan diri kepada Allah, mentadbir urusan kehidupan di alam dunia, dan menunaikan amanah melaksanakan perintah Allah dengan adil dan sempurna.

Semua ini mengikut maqasid al-syari‘ah bagi keperluan manusia menjaga agama, nyawa, akal, keluarga, maruah, dan harta mengikut tertibnya. Maka, matlamat kehidupan manusia ialah beribadat dan berkhidmat, berbeza dengan binatang dan tumbuhan yang dijadikan sebagai alat yang dipergunakan.

Oleh itu, pelajaran dan pendidikan hendaklah mengisi keperluan setiap aspek fitrah yang tidak boleh berpisah antara satu sama lain bagi mencapai tujuan manusia diciptakan.
Kini, kita mewarisi sistem pendidikan dan pelajaran yang dibawa oleh penjajah melalui pendekatan mereka yang tidak lengkap dan tidak teratur. Kita dapat menyaksikan kesannya yang sangat negatif di negara mereka sendiri sehingga hilang sifat kemanusiaan yang merosakkan jati diri, institusi keluarga, masyarakat, dan alam sekitar. Maka, kita turut terbawa-bawa dengan gejala tersebut.

Kita sedang menyaksikan dunia yang mengalami kerosakan moral serta kehancuran institusi keluarga dan masyarakat, akibat berkiblat kepada Barat kerana pemikiran kita yang masih dijajah oleh mereka.

Barat menumpang Tamadun Islam dari segi ilmu kemajuan kebendaan dan hanya melalui ilmu sains dan teknologi sahaja, tanpa mengambil ajaran Islam semuanya, khususnya pendidikan. Selepas Revolusi Industri, mereka mencapai kemajuan kebendaan yang membakar diri, mengancam keamanan dunia, dan merosakkan alam sekitar. Firman Allah SWT:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]

Bukan sahaja masalah buli-membuli di pusat pendidikan dan pelajaran sebagai tempat pembinaan insan yang menjadi isu panas terkini di negara kita, bahkan ada yang membunuh diri sehingga pemimpin yang berkuasa merosakkan negara dan rakyatnya.

Di sana, terdapat pihak yang sangat maju untuk berperang dengan membina senjata pemusnah yang lebih ganas daripada binatang liar di rimba. Walaupun berpelajaran tinggi, mereka tidak memenuhi keperluan fitrah manusia yang menjadikan mereka hamba kepada nafsu kebinatangan dan memperhambakan diri kepada semua yang dilantik menjadi tuhan selain Allah, termasuk bertuhan kepada nafsu tanpa akal. Firman Allah SWT:

أَفَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمٖ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَٰوَةٗ فَمَن يَهۡدِيهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ ٢٣ وَقَالُواْ مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا ٱلدُّنۡيَا نَمُوتُ وَنَحۡيَا وَمَا يُهۡلِكُنَآ إِلَّا ٱلدَّهۡرُۚ وَمَا لَهُم بِذَٰلِكَ مِنۡ عِلۡمٍۖ إِنۡ هُمۡ إِلَّا يَظُنُّونَ ٢٤

“Maka, pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya, serta Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka, siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat)? Maka, mengapa kamu tidak mengambil pelajaran? (23) Dan mereka berkata, ‘Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia saja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang akan membinasakan kita selain masa,’ dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga saja. (24)” [Surah al-Jathiyah: 23–24]

Inilah hasil sistem pendidikan dan pelajaran yang dijadikan acuan dalam pembinaan aspek kemanusiaan dan acuan inilah yang dibawa penjajah kepada kita.

Kita meninggalkan acuan Islam yang sempurna, petunjuk Allah, Pencipta alam Yang Maha Mengetahui, serta dibawa oleh para anbiya’ yang dilantik oleh-Nya bersama kitab yang diwahyukan. Semua kaum yang bertamadun dalam sejarah silam yang bermusuh terhadap para anbiya’ dan meninggalkan petunjuk Allah mengalami kemusnahan yang dahsyat. Firman Allah SWT:

أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ ١٤

“Adakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad? (6) (Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7) Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain. (😎 Dan kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah. (9) Dan kaum Firaun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak). (10) Yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri. (11) Lalu mereka berbuat banyak kerosakan di dalam negeri itu. (12) Oleh sebab itu, Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab. (13) Sesungguhnya, Tuhanmu benar-benar mengawasi. (14)” [Surah al-Fajr: 6–14]

Mereka semua berjaya membina tamadun kebendaan, tetapi meleset sifat kemanusiaan mereka sehingga membinasakan umat dan negara.

Wahyu pertama yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW:

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ ٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ
٥

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. (1) Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. (2) Bacalah, dan Tuhan kamulah Yang Maha Pemurah. (3) Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam (pena). (4) Dia mengajar kepada manusia apa-apa yang tidak diketahuinya. (5)” [Surah al-‘Alaq: 1–5]

Itulah wahyu yang padat dan ringkas merangkumi dasar pendidikan dan pelajaran, sehingga disebut membaca dan menulis menjadi alat untuk mendapatkan ilmu yang mendidik.

Dimulakan contoh dengan Arab jahiliah, iaitu manusia yang paling jahil dan ganas serta tinggal di tempat yang paling terpencil, menjadikan mereka buta huruf, buta akal, liar, dan ganas melebihi binatang. Di samping itu, mereka membunuh sesama sendiri dan membunuh anak sendiri yang dilahirkan, menjadikan mereka melebihi sifat binatang dan lebih keras hati mereka melebihi batu. Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ ٢

“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka, dan mengajari mereka Kitab dan Hikmah (Sunnah). Dan sesungguhnya, mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” [Surah al-Jumu‘ah: 2]

Mereka jauh daripada masyarakat yang beragama kitab yang telah diselewengkan dan tamadun kebendaan yang pernah merosakkan, lalu kemanusiaan mereka dibina dengan pengisian fitrah mengikut acuan Allah yang sempurna dan mengikut kejadian manusia.

Islam membahagikan ilmu kepada aspek aqidah, syariat, dan akhlak (tasawuf) bagi mengisi keperluan roh dengan aqidah keimanan, khususnya kepada Allah, Rasul, dan Hari Akhirat. Pada masa yang sama, beribadat dengan syariat yang mengisi akal yang memelihara diri manusia dengan memandu ilmu dunia dan akhirat, serta akhlak yang mengawal hati sanubari yang mengarahkan jasad dan menguasai nafsu.

Islam menetapkan tuntutan ilmu sebagai amal fardu ain (yang diwajibkan kepada setiap individu dalam perkara rukun agama dan dunia) serta fardu kifayah (hanya sekumpulan daripada masyarakat keseluruhan yang mendalami ilmu agama dan ilmu dunia). Firman Allah SWT:

۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢

“Dan tidak sepatutnya orang-orang Mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang al-din (Islam) dan untuk memberikan peringatan kepada kaum mereka apabila kaum itu telah kembali kepada mereka, supaya mereka itu dapat menjaga diri.” [Surah al-Tawbah: 122]

Kumpulan yang menunaikan aspek fardu kifayah mendalami ajaran Islam secara mendalam dan ilmu dunia yang mampu memandu urusan dunia berpandukan keperluan maqasid al-syari‘ah dengan memenuhi pelajaran dan pendidikan. Hal ini supaya perjalanan hidup berada dalam sempadan ketetapan Allah yang selamat bagi manusia yang berwawasan dunia dan akhirat, dengan menjadikan urusan dunia sebagai jambatan ke akhirat yang kekal abadi.

Islam menjadi petunjuk kepada semua urusan manusia dalam perkara dunia dan akhirat, malah akan dihisab pada Hari Akhirat kelak kerana melaksanakan tujuan penciptaan manusia oleh Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Firman Allah SWT:

أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ ١١٥

“Maka, adakah kamu mengira bahawa sesungguhnya, Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” [Surah al-Mu’minun: 115]

Allah menjadikan manusia dengan hikmah dan tujuan yang besar untuk bertugas di alam dunia dan di muka bumi yang berkaitan dengan peranan sebagai hamba Allah, mentadbir makhluk yang lain di bumi dan langit, serta bermasyarakat sesama manusia. Maka, manusia ditetapkan fitrah yang menjadikan mereka berkemampuan. Allah SWT menjawab kepada para malaikat, makhluk yang suci dan mulia di alam ghaib yang mentaati Allah sepenuhnya apabila mereka meminta penjelasan:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠ وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِي بِأَسۡمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ
٣١

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi (makhluk manusia).’ Para Malaikat berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.’ (30) Dan Dia mengajari Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat, lalu berfirman, ‘Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!’ (31)” [Surah al-Baqarah: 30–31]

Allah memberikan kelebihan kepada manusia yang bermula dengan Adam AS dengan kurniaan ilmu agama dan termasuk ilmu urusan dunia, membolehkan mereka menunaikan kewajipan di alam dunia. Semua urusan mereka dalam urusan yang luas itu akan dihisab pada Hari Kiamat mengikut perhitungan pahala sekiranya taat dan berdosa sekiranya derhaka.

Bukan sahaja urusan ibadat, malah termasuk juga urusan kehidupan semuanya dalam hubungan dengan Allah melalui konsep ibadat dan urusan dengan sesama manusia dan makhluk yang lain. Semuanya tidak boleh dipisahkan sama ada menunaikan fardu ain (setiap individu) ataupun fardu kifayah (secara pembahagian tugas yang khusus). Maka, menuntut ilmu dan berpendidikan adalah wajib bagi setiap orang (fardu ain) dalam perkara rukun dan fardu kifayah pula dalam tugas lapangan masing-masing.

Wajib kepada setiap individu dalam perkara rukun aqidah seperti kepercayaan kepada Allah dan melakukan ibadat, di samping percaya kepada perhitungan balasan pada Hari Akhirat mengikut hisab dosa dan pahala, halal dan haram dalam perkara syariat, serta perangai baik dan jahat dalam perkara akhlak, dalam setiap urusan agama dan kehidupan dunia.

Individu yang ditarbiah dengan kewajipan fardu ain akan melaksanakan tugas masing-masing, begitu juga dari aspek fardu kifayah dalam urusan dunia akan turut terkawal dengan baik.

Supaya pendidikan itu lebih menjiwai seseorang, maka tugasnya bukan sahaja kepada guru dan pusat ilmu, tetapi juga tugas keluarga, khususnya ibu bapa, rakan, dan jiran. Terpenting ialah peranan ibu yang paling kerap mendekati anaknya, tidak cukup dengan pengasuh yang diupah sahaja disebabkan oleh kesibukan kerja ibu mencari harta, padahal tugas boleh dibahagikan bersama suaminya.

Sabda Rasulullah SAW:

مُرُوا ‌أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ.

“Suruhlah anak kalian bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka (dengan tujuan mendidik, tidak menyeksa, dan tidak mencederakan) sekiranya mereka tidak bersembahyang apabila mereka berumur 10 tahun.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Salah, no. 495, daripada ‘Abdullah bin ‘Amru]

Begitu juga dalam perkara kewajipan yang lain bagi mendidik anak. Malangnya, kita terpengaruh dengan dunia Barat melalui sistem pelajaran dan pendidikan yang tidak holistik dan gagal dalam pendidikan yang merosakkan kita. Sehinggakan, undang-undang digubal bagi menghalang hukuman rotan, sementara ramai ibu bapa membela anak yang salah dan rosak apabila guru yang bertindak merotan bagi mendidik anak mereka itu dianggap sebagai satu kesalahan.

Islam menetapkan dosa dan pahala bukan sahaja dalam hubungan dengan Allah, malah termasuk hubungan dengan manusia sehingga binatang. Maka, semua aktiviti dicatat oleh malaikat, makhluk ghaib yang wajib diimani kewujudannya.

Rasulullah SAW menyatakan ada manusia yang mendapat rahmat dan keampunan Allah kerana menyelamatkan anjing yang kehausan di padang pasir, ada yang dimasukkan ke dalam Neraka kerana mengurung kucing sehingga mati kelaparan, serta ada yang mendapat pahala kerana menanam pokok yang memberikan manfaat kepada manusia dan binatang.

Maka, Islam berjaya mengatasi penyakit masyarakat, salah laku dan rasuah dalam pentadbiran, serta masalah kemiskinan dalam masyarakat. Sepatutnya, kita tidak memerlukan rumah kebajikan orang tua dan kanak-kanak. Ada orang tua yang dijaga oleh anjing kerana ditinggalkan oleh anak, keluarga terdekat, dan jiran yang tidak peduli, seperti yang berlaku di negara Barat disebabkan tidak menunaikan kewajipan berkeluarga dan bermasyarakat.

Pihak Yahudi dan Kristian yang mempunyai kitab Allah telah menyeleweng daripada kitab mereka. Firman Allah SWT:

ضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ أَيۡنَ مَا ثُقِفُوٓاْ إِلَّا بِحَبۡلٖ مِّنَ ٱللَّهِ وَحَبۡلٖ مِّنَ ٱلنَّاسِ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِ وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلۡمَسۡكَنَةُۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلۡأَنۢبِيَآءَ بِغَيۡرِ حَقّٖۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ ١١٢

“Mereka diliputi kehinaan di mana-mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang pada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia, dan mereka kembali mendapat kemurkaan daripada Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas.” [Surah Ali ‘Imran: 112]

Tindakan memutuskan ikatan hubungan dengan Allah dan hubungan dengan sesama manusia serta memecahbelahkan ajaran agama dalam kitab Allah membawa bencana kehinaan dan menjadi sesat dalam kehidupan, sehingga melanggar hak asasi manusia dan meninggikan hak binatang lebih daripada hak sesama manusia.

Konsep dan prinsip Islam dalam pelajaran dan pendidikan telah berjaya membina jati diri manusia yang dimuliakan oleh Allah sehingga berjaya mendidik manusia yang paling jahil, liar, dan ganas di padang pasir yang terpencil menjadi manusia yang beriman, berilmu, dan berakhlak memimpin dunia selama beberapa abad bersama Tamadun Islam. Namun, Tamadun Islam dijiplak secara tidak sempurna oleh Tamadun Barat yang hanya mencapai kemajuan kebendaan yang terpisah daripada agama.

Negara penjajah menolak Islam kerana dengki, bukan kerana benar. Mereka mengaku bahawa kejayaan umat Islam adalah disebabkan oleh kesempurnaan Islam yang sebenar daripada Allah, lalu mereka mengheret kita supaya meninggalkan Islam, khususnya al-Quran.

Pada zaman kelemahan umat Islam, apabila umat Islam meninggalkan ilmu Islam yang sempurna dalam urusan agama dan dunia sehingga jahil terhadap agama sendiri, lemah dalam kegiatan ilmu, dan berlaku keruntuhan akhlak, akhirnya umat Islam kalah dan dijajah oleh musuh yang dengki terhadap Islam.

Mereka merancang supaya umat Islam terus meninggalkan ajaran Islam yang sempurna, seboleh-bolehnya murtad meninggalkan agama Islam dan menganut apa-apa sahaja pegangan yang lain daripadanya.

Apabila usaha murtad gagal, mereka mengawal pula supaya umat Islam tidak kembali kepada Islam yang sempurna dengan melemahkan pengajian ilmu Islam dan ilmu dunia, melalui kawalan undang-undang dan sistem pelajaran dan pendidikan Barat yang tidak holistik.

Maka, pengajian Islam dikawal dengan cara pemberian lesen yang dinamakan tauliah mengajar agama yang dihadkan dalam perkara peribadi, keluarga, dan kebajikan masyarakat yang terbatas. Khutbah Jumaat juga dikawal agar semua khatib hanya membaca teks yang disediakan.

Di samping itu, mereka menukar huruf Arab dalam penggunaan bahasa Melayu kepada huruf Latin (Rumi) yang tidak lengkap bagi menyusahkan pengajian al-Quran dan kitab-kitab agama. Langkah ini bermula sejak zaman penjajahan sehingga zaman selepasnya yang dikatakan telah memperoleh kemerdekaan.

Kesannya, perkara ini telah melahirkan penganut Islam yang jahil akan fardu ain yang mendidik peribadi setiap orang Islam, selain menjadikan umat Islam hilang keperibadian Islamnya dan terpengaruh dengan kemungkaran.

Pelajaran dan pendidikan mengikut acuan penjajah ini melahirkan gejala negatif seperti yang dialami di negara penjajah, ditambah pula dengan peranan pentadbiran sekular dan media, khususnya terkini media sosial yang tidak ada sempadan menjadi duta kepada penjajah.

Maka, semua perkara negatif yang asing daripada masyarakat kita seperti membuli dianggap sebagai gurauan, walaupun dilakonkan dalam filem. Lebih melampau lagi sehingga gejala mabuk dan khayal dengan arak dan dadah bagi mengisi akal yang sihat, sehingga terlanjur membunuh ibu bapa dan keluarga sendiri atau membunuh diri sendiri yang ganjil berlaku dalam masyarakat Islam, kini boleh berlaku.

Perkara negatif ini turut terjadi pada peringkat tertinggi yang tinggi pengajiannya, tetapi gagal dalam pendidikannya. Politik, ekonomi, dan pentadbiran mencetuskan budaya menipu yang lebih bijak, salah laku, sehingga rasuah yang bersaiz besar yang menjadi barah dalam negara dan masyarakat umum.

Penyelesaiannya ialah hendaklah menyempurnakan kemerdekaan dalam segala aspek, termasuk aspek pelajaran dan pendidikan. Mesti merdeka daripada acuan pelajaran dan pendidikan penjajahan fikiran. Walaupun penjajah sebenar telah keluar pulang ke negeri masing-masing, mereka meninggalkan benih yang lahir daripada anak bangsa kita. Rasulullah SAW bersabda:

هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا، وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا.

“Mereka (makhluk perosak itu lahir) daripada warna kulit kita (bangsa kita) dan mereka bercakap dalam bahasa yang sama dengan kita.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Fitan, no. 7084, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1847, daripada Huzaifah bin al-Yaman]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 4 Rabi‘ al-Awwal 1447 / 28 Ogos 2025