Home Berita PAS Terengganu

Syukur tak terhingga, warga emas terima rumah baharu

4
SHARE

KEMAMAN – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Sidek Muda, 82 tahun, apabila menerima kunci rumah baharu di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) Tahun 2025 yang berlangsung di Kampung Pengkalan Cicar, Bukit Kuang, baru-baru ini.

Sidek yang sebelum ini menetap di rumah lama yang uzur melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak.

“Khususnya kepada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) serta Kerajaan Negeri Terengganu kerana permudahkan dalam urusan mendapatkan rumah ini.

“Saya tak sangka terpilih dalam program PPKB. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu saya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) Tahun 2025 yang berlangsung di Kampung Pengkalan Cicar, Bukit Kuang, baru-baru ini.

Majlis penyerahan rumah tersebut disempurnakan oleh Setiausaha MPK, Yang Mulia Tuan Sharifah Khairuzita Tuan Kechil, dan turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris.

Pembantu Pembangunan Masyarakat MPK, Hamzah Ibrahim berkata sebanyak lima buah rumah telah disiapkan.

“Kesemua rumah tersebut diserahkan kepada penerima layak di bawah program tahun ini, melibatkan kawasan Kijal, Pengkalan Cicar, Kampung Payoh, Ibok, Pengekalan Pandan, dan Batu 4 Binjai.

“Semua penerima dipilih daripada senarai e-Kasih, terdiri daripada keluarga B40 yang mempunyai tanah sendiri dan menepati syarat kelayakan ditetapkan,” ujarnya.

Tambah beliau, program ini telah bermula sejak tahun 2020 dan diteruskan setiap tahun dengan peningkatan kos pembinaan daripada RM68,000 pada tahun 2020 kepada RM90,000 pada tahun ini, sejajar dengan kenaikan harga bahan binaan.

Sehingga kini, sebanyak 21 buah rumah bina baharu telah berjaya disiapkan di bawah program ini di sekitar daerah Kemaman.

“Program PPKB merupakan antara inisiatif berterusan kerajaan dalam membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman yang lebih selesa, selamat dan sempurna.

“Semoga rumah baharu ini menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang lebih baik dan membawa sinar kebahagiaan buat semua penerima,” ujarnya.