KANGAR : Meriah dan penuh muhibah- itulah gambaran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Perlis yang telah berlangsung pada 15 Julai 2017, bersamaan 21 Syawal 1438H.
Kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus sejak awal pagi lagi menyaksikan dataran Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) dipenuhi dengan pengunjung yang hadir, dengan anggaran kehadiran seramai 2500 orang.
Majlis yang berlangsung bersempena dengan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden itu turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa orang tetamu jemputan, antaranya Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hj Hashim bin Jasin, Naib Presiden PAS, YB Dato’ Ir Iskandar bin Abdul Samad serta Setiausaha Agung PAS, YB Dato’ Takiyuddin Hassan.
Kehadiran ADUN Indera Kayangan, YB Chan Ming Kai dari PKR serta para pimpinan PKR Negeri Perlis pula membuktikan bahawa semangat muhibah terus terjalin antara pimpinan PAS dengan PKR di negeri ini meskipun kedua-dua parti tidak lagi mempunyai ikatan politik.
Pelbagai menu istimewa seperti laksa, ketupat, mee goreng serta kuih muih disediakan sempena majlis berkenaan dan apa yang menariknya, menu-menu ini disediakan oleh jentera-jentera PAS mengikut DUN-DUN di negeri Perlis.
{jathumbnail off}